CEO kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson mendedahkan bahawa model EV pertama keluaran Perodua akan dilancarkan pada Disember tahun ini, manakala ujian model tersebut akan bermula Jun ini, lapor New Straits Times.
“Ruang EV adalah tempat di mana kami melihat potensi yang kuat. Permintaan semakin meningkat, dan kami meletakkan diri kami dengan sewajarnya,” kata Jeffri. Model produksi sebenar EV Perodua berkenaan akan dibina berdasarkan model konsep eMO-II yang telah membuat kemunculan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 Disember lalu, dan menurut Jefri lagi ia menerima maklum balas positif dari orang ramai.
EV yang akan dilancarkan oleh Perodua ini dijangka akan dijual pada harga RM80,000, tidak termasuk bateri. Ini kerana bateri akan ditawarkan dengan cara sewaan – selain dapat mengurangkan harga jualan kereta tersebut, dengan cara ini juga pemilik tidak perlu risau tentang kerosakan bateri dan juga nilai jualan balik.
Dengan harga jangkaan yang diumumkan, model ini dijangka akan menjadi model EV paling murah di Malaysia, walaupun selepas had harga lantai EV yang diimport sepenuhnya (CBU) yang ditetapkan pada RM100k sedia ada ditarik semula oleh kerajaan.
Dijangkakan Perodua akan mendapatkan bekalan bateri LFP dari pengeluar bateri EV terkemuka dari China iaitu CATL, yang bakal memberikan jarak gerak sekitar 400km untuk satu cas penuh.
Ini juga merupakan model pertama Perodua yang disadur atau menerima bantuan teknikal dari Daihatsu, kerana jenama kereta kompak berkenaan dan juga syarikat induknya iaitu Toyota belum ada teknologi EV untuk segmen mampu milik. Sebaliknya pembangunan model tersebut dibuat oleh Perodua dengan dibantu rakan kerjasama tempatan dan luar negara yang lain.
GALERI: Model konsep Perodua eMO-II di KLIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.