Data jumlah jualan bagi bulan Januari 2025 di Malaysia yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan 48,875 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan. Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 40.2%, atau 32,860 unit berbanding bulan Disember 2024 yang mencatat 81,735 unit.
Menurut MAA, penurunan besar ini antaraya berpunca daripada tempoh hari bekerja yang pendek, iaitu 19 hari (termasuk cuti Tahun Baru Cina), dan jumlah jualan pada bulan sebelumnya banyak dirangsang oleh promosi jualan akhir tahun.
Jumlah jualan bagi bulan Januari 2025 ini juga adalah 27% (atau 18,048 unit) lebih rendah berbanding bulan sama pada tahun 2024. Ini boleh dianggap sebagai satu permulaan yang perlahan demi mencapai sasaran TIV yang ditetapkan pada 780,000 unit.
Bagi bulan Februari 2024, MAA menjangkakan jumlah jualan yang lebih baik, meskipun jumlah hari adalah lebih sedikit. Persatuan itu menjangkakan ada peningkatan jualan bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri, ditambah dengan promosi daripada syarikat yang menutup kalendar kewangan pada 31 Mac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.