Nampaknya tahun ini merupakan tahun yang sangat sibuk bagi pasukan R&D Proton – baru sahaja tadi kami menerima gambar-gambar X50 facelift yang ditemui sedang di uji, dan ini satu lagi pasukan lain dilihat sedang menguji model mampu milik Proton yang turut menerima kemaskini besar iaitu Saga MC3.
Set foto ini dimuatnaik oleh Amirul Syafiq di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion, dan menyatakan bahawa Saga ini dijumpai sedang diuji di kawasan peranginan Cameron Highland, Pahang. Dan apa yang menarik, pasukan jurutera Proton ini turut membawa sekali sebuah Perodua Myvi untuk diuji bersama!
Unit prototaip kali ini juga dilihat berbeza dari unit ujian yang dijumpai sebelum ini. Selain dari kamera sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dipadankan pada cermin hadapan dan juga diberikan gril pin krom seperti S70, unit ujian kali ini turut dilihat mengenakan unit lampu hadapan baharu.
Lampu tersebut masih lagi merupakan unit reflektor halogen, namun ia nampaknya menerima perubahan rekaan yang ketara – bukan sahaja bahagian yang hampir dengan gril kini menampilkan lensa berwarna oren untuk lampu isyarat membelok, malah penutup bonet juga menunjukkan perubahan yang nampak lebih ‘bulat’, menandakan perubahan turut dibuat pada kluster lampu utama tersebut.
Manakala di belakang, jika sebelum ini unit-unit prototaip ujian yang dijumpai menampilkan lampu belakang yang sama seperti model sedia ada, unit prototaip terbaharu ini nampaknya diberikan lampu berbeza. Berdasarkan pencahayaan, nampak lampu berkenaan telah ditingkat taraf dengan lampu LED. Rekaannya juga berbeza kerana nampak seperti diberikan kluster yang lebih nipis.
Berbalik pada Myvi yang turut dibawa oleh pasukan penguji Proton ini, mungkin hatchback segmen-B dari Rawang berkenaan berfungsi sebagai kayu ukur untuk beberapa aspek, misalnya aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH), dan juga sistem ADAS yang dibekalkan.
Dan tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.
Dengan perubahan yang dilihat agak besar pada unit prototaip ini, tidak mustahil ini merupakan Saga yang dibangunkan dengan platform AMA seperti yang disebut oleh Proton sebelum ini. Tiada perincian sebenar diumumkan oleh Proton berkenaan platform tersebut, namun difahamkan ia adalah platform rekaan Proton yang diasaskan dari platform-platform tempatan sedia ada dan diberikan penambahbaikkan lebih moden.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.