Kerajaan tidak merancang untuk melanjutkan pengecualian cukai jalan bagi kenderaan bateri-elektrik di Malaysia selepas tarikh akhir 31 Disember 2025, jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu jawapan bertulis di parlimen kepada ahli parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Jun tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan struktur cukai jalan yang disemak semula, berdasarkan output kuasa kenderaan dalam kilowatt (kW) dan dikelompokkan mengikut julat tertentu.
Meneliti angka berkenaan daripada EV paling murah di Malaysia ketika ini, Neta V dengan harga atas jalan RM100,000 tanpa insurans, model kompak dengan output 70 kW itu (95 PS/160 Nm) akan dikenakan cukai jalan RM40. Bagi Proton eMas 7 dengan 160 kW pula (218 PS/160 Nm), yang sama dengan MINI Cooper SE dengan 218 PS dan 330 Nm, kadar yang dikenakan ialah RM180.
EV paling laris di Malaysia, BYD Atto 3 dengan kurang daripada 150 kW (204 PS/310 Nm) kuasa akan dikenakan cukai jalan RM160. Model mewah seperti Lotus Eletre R dengan 675 kW (918 PS/985 Nm) pula akan dikenakan kadar RM4,890.
Pada Januari lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa pengecualian cukai bagi EV CBU yang ada ketika ini perlu dilanjutkan hingga 2030 bagi membolehkan sasaran penggunaan EV negara mencapai tahap 15% daripada jumlah jualan menjelang 2030.
“EV masih berada pada tahap awal penerimaan. Ada keperluan untuk kerajaan menggalakkan dan menyokong pertumbuhan EV, terutamanya melalui insentif. Jadi, kerajaan perlu mempertimbangkan lanjutan insentif cukai ketika ini, terutama untuk EV CBU. Jangkaan kami adalah sekurang-kurangnya hingga 2030, bagi mencapai tahap 15% jualan EV selari dengan matlamat yang disasarkan oleh kerajan,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain Januari lalu.
Pengecualian cukai jalan bagi EV tentunya berbeza dengan pengecualian duti import dan duti eksais yang untuk EV CBU ketika ini, yang akan berakhir pada tarikh yang sama pada 31 Disember 2025, sementara bagi EV pemasangan tempatan, pengecualiannya akan berlangsung hingga 31 Disember 2027.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.