Kehadiran Voge, iaitu satu jenama di bawah Loncin diperkuatkan lagi di Malaysia dengan pelancaran model adventure baru DS900X. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu Aviator Blue, Lime Green dan Matt Black, pada harga RM49,998 tidak termasuk insurans.
Memacu motosikal ini adalah enjin dua silinder 895 cc, yang sebenarnya adalah sama seperti BMW F900 GS/XR/R, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan kuasa 95 hp pada 8,250 rpm dan tork 95 Nm pada 6,000 rpm.
Bagi memudahkan pengendalian, DS900X menyediakan empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan Enduro, serta kelengkapan lain seperti quickshifter, sistem kunci pintar, cruise control dan pemerhati tekanan angin tayar (TPMS). Tidak cukup dengan itu, ia juga datang dengan perakam video hadapan.
Sebagai sebuah motosikal yang dibuat untuk tunggangan lasak, DS900X datang dengan rim spoked tanpa tiub 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.
Tugas membrek dilaksana unit cakera berkembar 305 mm berkembar dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera 265 mm dengan angkup tunggal di belakang, manakala informasi penting dipaparkan pada skrin TFT tujuh inci berwarna penuh.
Pada harga di bawah RM50k itu, DS900X juga datang terus dengan pelbagai aksesori termasuk beg barangan (45 liter di belakang dan 35 liter setiap satu di tepi), pelindung tangan, besi pelindung enjin, pemanas tangan, pemanas tempat duduk, penghadang angin hadapan boleh laras, lampu kabus serta soket pengecas USB-C, USB-A dan 12V.
Secara keseluruhannya, Voge DS900X mencatat berat 222 kg dan dilengkapi dengan tangki abhan 17 liter. Tinggi tempat duduknya dalam keadaan standard adalah 835 mm dan menyediakan urang kelegaan dari tanah 190 mm. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.