Volvo Car Malaysia (VCM) telah umumkan ketibaan model Volvo EC40, nama baru bagi model C40 Recharge EV yang membuat penampilan global pada Februari tahun lalu. Kini, EC40 datang dengan sedikit lebih jarak, iaitu 554 km WLTP, berbanding 550 km bagi C40 2024. EC40 dijual dengan harga RM288,888 — harga yang sama seperti sebelum ini.
Ia masih menggunakan bateri dengan kapasiti 82 kWh seperti C40 Recharge 2024, dan EC40 ini menyokong pengecasan pantas yang sama, 200 kW DC, yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 28 saat. Pacuan kuasa EC40 juga hadir dengan dua motor elektrik dengan janaan yang sama: 300 kW atau 408 PS.
Tidak diumumkan untuk Malaysia, tetapi pasaran lain ada pek perisian Performance yang melonjakkan output puncak sebanyak 34 PS kepada 442 PS, serta pementaan pedal yang disemak semula untuk memperbaiki respon. Di Malaysia, EC40 datang dengan Digital Service percuma selama lima tahun, terdiri daripada Google Assist, Google Maps, Google Play Store serta fungsi jarak jauh melalui aplikasi mudah alih Volvo Cars.
Nama baru EC40 diumumkan bersekali dengan EX40, dengan jelas menunjukkan bahawa ia adalah model yang lebih besar daripada EV EX30, yang dijual dengan dengan harga RM189k di Malaysia. Kemaskini nama-nama model ini adalah bagi model-model “Recharge” sebelum ini, sementara bagi model PHEV ia akan disertakan dengan nama T6 atau T8 untuk membezakan janaan outputnya. Volvo mengekalkan nama XC40, yang akan digunakan untuk varian dengan enjin pembakaran dalaman.
Volvo EC40 didatangkan dengan Volvo Service Plan (VSP) lima-tahun. Sehingga 31 Mac ini, model tersebut akan ditawarkan dengan baucar wallbox percuma bernilai RM5,000. Lima pilihan warna tersedia di Malaysia — tambahan terbaru Cloud Blue, dan disertai oleh Crystal White, Onyx Black, Sage Green dan Silver Dawn.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.