PT Astra Daihatsu Motor (ADM), sebuah anak syarikat Daihatsu Motor di Indonesia, mengumumkan telah memulakan operasi skala penuh syarikat itu di Kilang Pemasangan Karawang 2 (KAP 2) yang terletak di Jawa Barat. Kilang tersebut, yang mula dibangunkan pada Februari 2023 dengan pelaburan 2.9 triliun rupiah, bertujuan untuk menampung operasi di Kilang Pemasangan Sunter 1 yang lama, yang telah beroperasi selama 27 tahun.
KAP 2 terbaru ini juga melengkapi Kilang Pemasangan Karawang (KAP) pertama yang telah beroperasi sejak 2013, dengan keseluruhannya mencecah 2.3 juta kenderaan sudah diserahkan kepada pelanggan di Indonesia dan seluruh dunia. Kapasiti pengeluaran ini juga disokong oleh lebih daripada 1,700 pembekal, termasuk 700 MSME, serta kadar lokalisasi yang lebih 80% bagi semua kenderaan yang dikeluarkan.
Dengan operasi di kemudahan baru ini, kilang Karawang kini menjadi kilang terbesar Daihatsu Group yang berada di luar Jepun, dengan pengeluaran tahunan sebanyak 360,000 unit (KAP 2 menyumbang 140,000 unit). Model yang dikeluarkan dari sana (setakat Februari 2025) termasuk Daihatsu Ayla, Toyota Agya dan Toyota Wigo. Dengan kesemua enam kilang pengeluaran ADM, kapasiti keseluruhan pengeluaran ialah 530,000 unit setahun.
Kilang KAP 2 mempunyai kemudahan kimpalan badan, mengecat dan pemasangan yang menggunakan proses model serta tenaga boleh diperbaharui — dengan adanya 5,100 panel solar di bahagian bumbung bangunan kilang, mengurangkan emisi CO2 sebanyak 30% setahun dengan janaan kuasa sebanyak 3,000 kW.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.