Tidak hairanlah apabila lebuhraya utama di negara ini seringkali mengalami kesesakan teruk sepanjang musim perayaan besar saban tahun. Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 118 juta kenderaan Kelas 1 (yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda, tidak termasuk teksi dan bas) direkodkan berada di lebuhraya pada musim perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab soalan dari Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan yang ingin mengetahui jumlah kenderaan persendirian yang menggunakan lebuhraya sepanjang musim perayaan. Nanta berkata pada Tahun Baharu Cina 2025 sahaja menyaksikan sejumlah 27 juta kenderaan dalam tempoh 27 Januari hingga 1 Februari.
“Berbanding pada tahun 2023, sebanyak 109 juta kenderaan direkodkan menggunakan lebuhraya sepanjang empat perayaan utama, dengan pergerakan kenderaan meningkat sehari sebelum dan sehari selepas setiap perayaan,” katanya.
Bermula tahun ini, kerajaan menawarkan diskaun tol sebanyak 50% bagi menggantikan inisiatif bebas tol sebelum ini dan ia dilaksanakan pada empat musim perayaan utama bermula Tahun Baharu Cina yang lalu.
Menurut Nanta, langkah itu akan mengurangkan pampasan yang ditanggung kerajaan kepada syarikat konsesi lebuhraya dari segi perbelanjaan awam, memandangkan kos diskaun tol itu ditanggung oleh kerajaan menggunakan dana awam, bukan syarikat konsesi lebuhraya.
“Dalam setahun, lapan hari diperuntukkan untuk perjalanan bebas tol. Kini, bilangan hari yang sama akan mendapat diskaun 50%. Jika ia percuma, kami terpaksa membelanjakan RM160 juta, dan dengan mengurangkan separuh, bayaran kepada syarikat konsesi berjumlah RM80 juta,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.