Nampaknya semakin kerap Proton menguji model kemaskini untuk SUV segmen-B X50. Ini satu lagi set gambar yang diambil oleh pengguna twitter/X Cairel Zikry yang menjumpai unit prototaip di sebuah stesen minyak Petronas di Petaling Jaya. Sekali imbas, unit kali ini nampak sama sahaja dengan unit-unit yang dijumpai sebelumnya. Namun apa yang kami perasan, unit ini dipadankan dengan spoiler belakang yang lebih kecil.
Berdasarkan gambar-gambar X50 facelift yang sedang diuji ini, Proton nampaknya menggunakan menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu. Ia meliputi bahagian muka menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit prototaip ujian ini juga dilihat sudah diberikan gril Proton dengan rekaan pin krom yang diilhamkan dari kain songket, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.
Manakala di belakang, kedudukan perumah nombor pendaftaran versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini menggunakan bampar belakang yang sama seperti Geely Binyue L, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.
Unit dengan spoiler belakang lebih kecil, dengan bentuk sama seperti Binyue L ini mungkin dari varian lebih rendah. Manakala unit yang dipadankan dengan spoiler lebih besar yang kelihatan sama seperti Binyue Cool pula mungkin dari varian lebih sporty dan mahal.
Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.
Binyue L juga menerima perubahan pada sebelah dalam menampilkan rekaan corong udara penghawa dingin, panel suis kawalan, konsol tengah dan juga tombol gear yang berbeza. Model tersebut juga diberikan sistem Flyme Auto yang telah pun turut diberikan pada model EV Proton eMas 7.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong bulan lalu, model facelift bagi X50 ini akan dilancarkan pada tahun ini. Jadi berdasarkan peringkat pembangunan yang dilihat pada model yang diuji ini, boleh dijangkakan pelancarannya mungkin akan dibuat pada separa kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.