Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

Pengenalan rasmi Xpeng X9 untuk pasaran Malaysia kini semakin hampir. Kini, pendaftaran minat (ROI) telah dibuka di laman web utama jenama itu. MPV elektrik mewah yang futuristik ini sudah dipertontonkan pada Januari lalu, dan bakal menjadi pesaing bagi model Denza D9 dan Zeekr 009 — dan tentunya pemain lama dengan enjin petrol, Toyota Alphard dan Vellfire.

Lebih menarik, borang ROI yang diumumkan itu turut menyediakan pilihan bagi membuat tempahan, memberi gambaran pelancarannya yang sudah semakin hampir. Boleh dijangkakan X9 yang akan dijual di sini adalah sama dengan penawaran di Thailand — spesifikasi di sana sudah didedahkan sebelum pelancarannya, dengan hanya satu varian Luxury ditawarkan.

Xpeng X9 menggunakan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) yang sama dengan SUV EV G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu, dan mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dengan jarak roda 3,160 mm.

Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

Kuasa datang dari motor tunggal di depan yang menghasilkan sebanyak 320 PS (235 kW) dan 450 Nm tork, membolehkan MPV tujuh-tempat duduk yang besar ini mencapai 100 km/j dalam masa 7.7 saat dan laju maksimum 200 km/j. Ia menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 101.5 kWh, menyediakan jarak WLTP sejauh 590 km. Di Hong Kong, varian dengan kapasiti bateri lebih kecil, lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWh dengan jarak 480 km turut ditawarkan.

Xpeng menyatakan yang X9 menyokong “pengecasan pantas 3C”. Ini bermakna, kuasa pengecasan pantas DC-nya adalah sekitar tiga kali ganda angka kapasiti bateri — sekitar 300 kW bagi pek bateri 101.5 kWh. Pengecasan 10%-80% boleh dicapai dalam 20 minit. Suspensi pula terdiri daripada jenis double wishbone di depan dan multilink di belakang, dengan gelung udara dua-kebuk serta larasan ketinggian 90 mm dan bahkan mempunyai stereng roda belakang.

Di dalam, X9 menerima sistem infotainment dengan skrin sesentuh 17.3-inci, bersama paparan kluster instrumen digital 10.25-inci. Untuk penumpang belakang pula, diberikan paparan 21.4-inci yang dipasang di bahagian siling serta tempat duduk gaya-pesawat untuk barisan kedua yang turut diberikan ciri pemanas, pengaliran udara dan urut. Ia juga diberikan bentangan 2-2-3 untuk tujuh-tempat duduknya.

Seperti biasa, harga ketika ini masih belum diketahui. Namun, boleh dijangkakan tanda harganya tidak akan berada jauh daripada pesaing — seperti Denza D9 (RM259,000) bagi model paling asas dan RM309,000 bagi model pacuan semua roda, manakala model Zeekr 009 pacuan semua roda pula dijual RM349,800 (tujuh-tempat duduk) dan RM359,800 (enam-tempat duduk).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required