Jika anda ingin ke Menara Merdeka 118, anda boleh memasuki menara kedua tertinggi di dunia itu dengan melalui Belfield Tunnel. Menurut PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Belfield Tunnel meliputi jarak lebih dari satu kilometer, dan merupakan terowong dua tingkat kedua Malaysia yang direka secara eksklusif untuk kenderaan yang berulang-alik ke Merdeka 118.
Jalan ini menyediakan laluan masuk dan keluar alternatif untuk kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya. Ia boleh diakses menerusi dua jalan masuk iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara, yang membawa kenderaan terus ke tempat letak kereta bawah tanah 4 di Menara Merdeka 118. Untuk bergerak keluar, kenderaan boleh dipandu dari tempat letak kereta bawah tanah 5 menuju ke dua jalan keluar iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.
Kemudahan masuk strategik ini bertujuan mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama bandar raya dan menambah baik aliran trafik di kawasan sekitar termasuk di Jalan Hang Jebat, Jalan Hang Tuah, dan Jalan Maharajalela.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan pembukaan Belfield Tunnel sebagai satu titik hubungan penting yang akan memudahkan kunjungan ke Merdeka 118 dan mercu tanda di sekelilingnya, termasuk Stadium Merdeka. Matlamat kami ialah untuk menyediakan perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke ibu kota, memudahkan kunjungan untuk semua.
“Dengan ruang sebanyak 8,000 tempat letak kereta, kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat, daripada ahli perniagaan profesional kepada pembeli dan pelancong untuk menikmati kemudahan yang disediakan di Merdeka 118 apabila dibuka sepenuhnya kelak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud.
Dengan pembukaan Belfield Tunnel, pengunjung kini boleh keluar masuk ke presint Merdeka 118 dengan mudah. Terowong ini juga boleh digunakan oleh pengunjung yang ingin ke Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur di Malaysia dan juga ke pusat beli-belah 118 Mall, yang masing-masing akan dibuka pada suku kedua 2025 dan suku kedua 2026.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.