Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi pintar terutamanya sistem pengurusan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi melancarkan aliran trafik.
Menurut KKR, usaha ini adalah sebahagian daripada strategi untuk memodenkan sistem infrastruktur pengangkutan negara dan ia selaras dengan matlamat ekonomi dan kelestarian negara.
“Kerajaan sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi pintar, terutamanya sistem pengurusan trafik berasaskan AI bagi melancarkan aliran trafik. Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi untuk memodenkan sistem infrastruktur pengangkutan negara dan ianya selaras dengan matlamat ekonomi dan kelestarian negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan.
Kenyataan menerusi Jawapan Lisan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan Senator Tuan Amir Md Ghazali di Parlimen, yang ingin mengetahui usaha Kerajaan dalam meningkatkan penggunaan teknologi pintar seperti sistem pengurusan trafik berasaskan AI untuk melancarkan aliran trafik.
Menurut KKR lagi, kementerian tersebut yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di Malaysia melalui kepengerusian Majlis Sistem Pengangkutan Pintar Negara/Intelligent Transport System Council (ITS Council) telah menyusun rangka tindakan untuk meningkatkan penggunaan teknologi pintar yang merangkumi beberapa usaha.
Ia melibatkan Rangka Tindakan ITS Malaysia 2019-2023 yang menekankan kepentingan strategik ITS dalam memodenkan sektor pengangkutan dan infrastruktur negara. Pada masa kini, sebanyak 16 inisiatif ITS telah dikenal pasti dan sedang giat dibangunkan secara bersama oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Agensi peneraju kepada inisiatif tersebut adalah KKR, Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Komunikasi (KK), serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Rangka Tindakan ITS Malaysia 2019-2023 ini telah mencapai tempoh tamat dan akan digantikan dengan ITS Roadmap 2030 yang dijangka diluncurkan pada pertengahan tahun 2025 ini,”jelas KKR.
Selain itu, KKR sudah mula melaksanakan inisiatif Sistem Lampu Isyarat Pintar (Smart Traffic Light) pada tahun 2023 yang bertujuan untuk menambah baik tempoh menunggu pengguna jalan raya di persimpangan. Sistem ini menggunakan teknologi AI, sensor, dan analitik data untuk mengoptimumkan aliran trafik. Sistem ini menyesuaikan lampu isyarat trafik secara dinamik berdasarkan keadaan masa nyata.
Usaha itu juga melibatkan inisiatif yang dirangka untuk membangunkan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Nasional yang bertujuan sebagai sebuah pusat pengumpulan maklumat trafik bersepadu kerajaan dengan menggunapakai teknologi pintar berasaskan AI.
“KKR proaktif dalam menggalakkan penggunaan teknologi pintar dalam aspek pengurusan trafik, merangkumi pembangunan dasar, strategi, dan pelaksanaan projek. Usaha-usaha seperti sistem lampu isyarat pintar dan inisiatif pengintegrasian data trafik, menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani isu kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kecekapan sistem infrastruktur pengangkutan di Malaysia,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.