Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan kerangka peraturan baru bagi perkhidmatan p-hailing berikutan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 (Akta 715), jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke seperti dilapor oleh The Star.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pelaksanaan perkhidmatan p-hailing turut mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat, termasuk penyedia perkhidmatan dan rakan kongsi penghantaran p-hailing,” ujar Anthony dalam satu jawapan bertulis menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkaitan rancangan untuk mengawalselia algorithma dan kadar syarikat-syarikat p-hailing.
Sim juga bertanya sekiranya kementerian merancang untuk menetapkan harga minimum per kilometer dan tempoh waktu untuk memastikan pendapatan minimum bagi pekerja p-hailing.
Anthony menjelaskan kadar upah yang ditetapkan oleh pengendali p-hailing adalah berdasarkan pelbagai faktor seperti kesesakan lalulintas, keadaan cuaca, jarak perjalanan, masa, permintaan dan ketersediaan perkhidmatan, yang ditetapkan mengikut tahap pasaran ketika ini tanpa penglibatan pihak berkuasa berkaitan.
Awal tahun lalu, persatuan penunggang p-hailing Malaysia menyerahkan memorandum kepada UMNO dan Kementerian Pengangkutan. Kerana tidak gembira dengan penstrukturan semula kerangka yuran penghantaran dan bonus oleh Grab Malaysia, mereka ingin kerajaan campur tangan untuk menyelesaikan masalah penyusutan kadar bayaran itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.