Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Xpeng di Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model MPV flaghsip Xpeng X9 Ultra Smart Large tujuh-tempat duduk. MPV mewah tersebut kini mula dibuka untuk tempahan dengan harga bermula RM270,708 atas jalan belum termasuk insurans.
Dibangun menggunakan binaan SEPA 2.0 termaju oleh Xpeng sendiri, X9 membawa takrifan baru bagi segmen MPV dengan menampilkan rekaan yang inovatif, kepintaran, ruang, kendalian serta aspek keselamatan. Xpeng X9 mempunyai ukuran dimensi 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.
Terdapat tiga varian Xpeng X9 yang diperkenalkan di Malaysia, masing-masing dengan harga seperti berikut:
- Xpeng X9 Standard Range 2WD Pro — RM270,708
- Xpeng X9 Long Range 2WD Pro — RM288,708
- Xpeng X9 Lorng Range 2WD Pro Plus — RM300,708
Wajah depan X9 menampilkan “Reboot Face” yang menampilkan antaranya DRL melintang, gril kristal dengan rekaan berlapis yang dipadankan dengan sistem Active Grille Shutter (AGS) untuk memberikan kesan aerodinamik yang menambahbaik kecekapan dan prestasinya. X9 juga menampilkan bahagian tiang A dengan sudut yang tajam, visual bumbung terapung dan tingkap sisi yang luas. Bahagian belakangnya datang dengan sentuhan gaya coupe 23-darjah yang nampak agresif.
Di dalam pula X9 menggabungkan ciri mewah dan teknologi canggih. Konsol tengahnya menempatkan semua kawalan sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang menyeluruh dan mudah, ditambah dengan material premium seperti kemasan kayu dan corong pendingin aluminium untuk memberikan sentuhan moden yang minimal.
Di tengah papan pemuka ada skrin 21.4-inci untuk hiburan, dengan lampu ambient boleh kustom serta sistem penapisan udara untuk kabin lebih nyaman. Sistem bunyi pula menggunakan X-Opera Sound System dengan 23-pembesar suara. MPV besar ini mempunyai radius pusingan 5.4 meter.
Menarik dengan Xpeng X9 ini, ruang dalaman boleh diubah konfigurasinya daripada tujuh-tempat duduk yang cukup luas kepada empat-tempat duduk yang lebih lumayan ruangnya — dengan hanya satu sentuhan sahaja kerusi barisan ketiga akan terlipat.
Dalam keadaan ini, ruang but yang asalnya berkapasiti 755 liter akan menjadi 2,554 liter, membolehkan ruang yang luas itu digunakan untuk apa saja tujuan. Kerusi Zero Gravity yang tidak memenatkan, sistem lipat barisan ketiga secara elektrik dan fungsi urut yang tersedia memberikan lebih keselesaan. Turut ada ialah peti sejuk untuk kemudahan penumpang.
Untuk pengecasan, MPV ini menggunakan binaan SEPA 2.0 dengan platform 800V high-voltage silicon carbide (SiC) untuk memberikannya pengecasan ultra-pantas. Varian Standard Range 2WD Pro datang dengan bateri LFP 84.5 kWh yang menawarkan jarak sejauh 500 km WLTP, dengan kuasa 315 hp dan 450 Nm tork. Sementara bagi varian Long Range pula menggunakan bateri NMC 101.5 kWh yang lebih besar, memberikan jarak 590 km WLTP dengan janaan output yang sama.
X9 ini menyokong pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 317 kW, membolehkan kadar 10%-80% SoC dicapai dalam masa hanya 20 minit. Ia juga MPV BEV tujuh-tempat duduk pertama yang menampilkan struktur badan aluminium die-cast yang disepadukan depan dan belakang, mempertingkatkan lagi keselamatan dan ketahanannya. Ia juga ada fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.
Bagi aspek keselamatan, X9 dilengkapi dengan enam beg udara dengan child lock elektronik, sementara bantuan pemandu canggih memanfaatkan radar definisi tinggi, sensor ultrasonic dan kamera 360-darjah HD yang dikuasakan oleh cip Nvidia Orin-X.
Sistem XPilot 2.5 yang melengkapinya pula terdiri antara daripada ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS) dan Active Lane Change (ALC).
Untuk memudahkan letak kereta, ciri Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP) dan Straight Summon yang boleh dicapai melalui aplikasi mudah alih Xpeng untuk kesenangan pemandu. Ciri XPilot ini juga menyepadukan ciri lain seperti Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA) dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).
Xpeng X9 Ultra Smart Large Seven-Seater ini dibawa masuk secara CBU dari China, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna — Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black.
Untuk ruang dalaman, dua pilihan warna ditawarkan — Starry Night Black dan Moon Shadow Brown. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro menampilkan balutan material seakan kulit, sementara Long Range 2WD Pro Plus diberikan sentuhan lebih mewah dengan kulit Nappa untuk kerusi Zero Gravity.
X9 yang mula dibuka untuk tempahan ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun (atau 120,000 km, yang mana dulu) dan lima-tahun servis serta penyelenggaraan percuma (atau 100,000 km, yang mana dulu). Ia juga termasuk dengan jaminan lapan-tahun untuk baterinya, dengan had perbatuan 160,000 km.
Xpeng X9 Long Range 2WD Pro Plus 2025
Xpeng X9 Long Range 2WD Pro 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.