MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dalam satu majlis di Chongqing, China mendedahkan dua model bergaya ala klasik, iaitu RA600 dan RE600 yang akan tiba di Malaysia pada bulan Jun tahun ini dengan harga jualan RM25,888 tidak termasuk insurans.
Kedua-duanya berkongsi enjin yang sama, iaitu unit dua silinder selari 550.4 cc DOHC berkuasa 58 hp pada 8,500 rpm dan tork 55 Nm pada 6,500 rpm, tetapi datang dengan bentuk badan yang berbeza – RA600 sebagai bobber dan RE600 lebih menyerupai scrambler. Transmisi adalah unit kelajuan.
Bahagian lain yang berbeza antara dua model ini adalah rim, kedudukan menunggang (pemegang dan peletak kaki), bentuk meter digital berwarnanya serta sistem pacuan. RA600 datang dengan rim 16 inci depan dan belakang serta pacuan rantai, sementara RE600 menggunakan rim 17 inci dan pacuan tali sawat.
Selain daripada itu, RA600 juga mempunyai pelarasan tambahan pada fork hadapannya, selain tangki bahan api 14.5 liter dan tetapan cakera brek tunggal di hadapan, sementara RE600 menggunakan fork tanpa pelarasan, tangki bahan api 20 liter serta tetapan cakera brek hadapan berkembar.
Kelengkapan lain yang terdapat pada RA600 dan RE600 adalah termasuk angkup brek daripada J.Juan (tetapan tunggal di belakang), semua lampu jenis LED, sistem kawalan cengkaman serta brek ABS dual-channel.
GALERI: Cyclone RA600
GALERI: Cyclone RE600
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.