Susulan pelancaran Xpeng X9 semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan turut berkongsi maklumat berkaitan adakah kemungkinan pemasangan CKD bagi model-model Xpeng di Malaysia.
Dari aspek perkembangan serantau, minggu ini Xpeng mengumumkan bakal menjalankan CKD bagi dua modelnya, G6 dan X9 di Indonesia bermula separuh kedua tahun ini. Jadi, bagaimana dengan Malaysia? X9 yang dilancarkan semalam adalah unit CBU dari China. Adakah selepas ini model yang dipasarkan di sini datangnya dari Indonesia?
Menurut beliau, Xpeng Malaysia sentiasa mempertimbangkan kemungkinan itu, bahkan sejak pengenalan model G6 pada Ogos tahun lalu. “Adalah lebih baik sekiranya kerajaan boleh menyatakan dengan jelas arah tuju polisi Malaysia selepas ini bagi memudahkan sebarang pertimbangan oleh pemain industri untuk menentukan sama ada Malaysia boleh dijadikan sebagai hab automotif rantau ASEAN atau sebaliknya,” ujarnya.
Ketika ini, EV CBU diberikan pengecualian cukai import dan duti eksais hingga penghujung tahun ini, manakala EV CKD pula akan menikmati pengecualian cukai jualan dan duti eksais sehingga 31 Disember 2027.
“Walaupun begitu, saya pasti kami akan menjalankan beberapa bentuk CKD di Malaysia, dan mungkin akan melakukan bertukaran dan timbal balik dengan negara jiran: ini adalah penyelesaian yang terbaik. Jika sebuah negara melakukan semua CKD (untuk satu jenama), dan mengeksportnya ke negara lain yang tidak melakukan CKD (untuk jenama yang sama itu), tetapi merupakan negara CKD juga, maka akan ada banyak perkara yang perlu ditangani,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan bahaawa Bermaz Xpeng Sdn Bhd, selaku pengedar jenama itu di Malaysia, ketika ini sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk menjalankan program CKD. “Untuk model yang mana, kami masih belum tentukan kerana bagi tempoh setahun ke hadapan, akan ada model baru yang dilancarkan. Kami boleh memilih model mana yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia bagi tujuan program CKD tersebut,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.