Aliran trafik dijangka sesak dan padat di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands di Singapura menjelang Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah di republik berkenaan, kata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) seperti yang dilaporkan Straits Times.
Tahun Baharu Cina 2025 menyaksikan lebih tiga juta pengguna jalan raya menggunakan dua pusat pemeriksaan tersebut dari 24-30 Januari, dengan jumlah tertinggi mencapai 521,000 individu pada 24 Januari. Semasa tempoh puncak, pemandu kenderaan terpaksa menunggu selama tiga jam bagi proses imigresen disebabkan kesesakan dari Malaysia, kata ICA.
Tempoh cuti sekolah di Singapuran bagi bulan Mac akan bermula dari 14 hingga 24 Mac, manakala tempoh cuti Hari Raya Puasa adalah dari 28 Mac hingga 1 April.
Menurut ICA, orang ramai diingatkan untuk memastikan pasport mereka mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan jika ingin ke luar negara dan untuk tidak membawa barang yang dilarang atau terkawal. Bagi mereka yang menggunakan kenderaan atau motosikal, disarankan untuk menggunakan kod QR sebagai ganti pasport bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen.
Dalam masa yang sama, pemandu juga dinasihatkan untuk memeriksa situasi trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan. Selain itu, orang ramai juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan sebagai alternatif. Waktu operasi boleh didapati di aplikasi MyTransport.SG kendalian Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat atau di laman sesawang yang disediakan.
Bagi rakyat Malaysia yang masuk dan keluar Singapura dengan menggunakan kenderaan, bolehlah menggunakan kod QR berbanding pasport yang telah dilaksanakan sejak 19 Mac 2024. Kerajaan Malaysia kini dalam rancangan untuk melaksanakan cara yang sama bagi pengguna kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) tahun ini untuk penumpang bas dan penunggang/pembonceng motosikal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.