Proton mendedahkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Proton eMas 7 kini telah menerima tempahan cecah 4,500 unit. Pada bulan lalu sahaja, sebanyak 580 unit eMas 7 telah dihantar kepada para pelanggan, yang kini mencecah lebih 1,000 unit yang sudah dihantar setakat ini, kata Proton lagi.
Pada bulan lalu sahaja, sebanyak 4,000 unit tempahan telah diterima. Berbanding sekitar 500 unit tempahan pada bulan sebelumnya yang dilihat agak perlahan selepas ia dilancarkan pada Disember 2024. Perkara ini sudah dijangka kerana trend semasa yang menunjukkan orang ramai lebih bersikap ‘tunggu dan lihat’.
Ini bermakna waktu menunggu bagi eMas 7 tidak terlalu lama, bukan seperti model popular lain termasuk SUV X50 yang memerlukan masa menunggu sekitar enam bulan daripada tarikh ia dilancarkan.
Walau bagaimana pun ketersediaan eMas 7 bergantung pada varian; paultan.org difahamkan bahawa tempoh menunggu untuk varian Premium adalah sehingga satu bulan, bergantung pada warna, dan unit dalam warna yang kurang popular mungkin ada dalam stok. Sementara itu, stok bagi varian Prime khabarnya tersedia di kebanyakan pengedar.
Diumumkan ketika pelancarannya, barisan eMas 7 bermula pada harga atas jalan RM105,800 untuk Prime, manakala Premium pula berharga RM119,800 tanpa insurans, dengan diskaun ‘early bird’ untuk 6,000 pelanggan pertama. Bagi penjana kuasanya, kedua-dua varian diberikan motor tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm yang memacu roda hadapan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat dan kelajuan maksimum cecah 175 km/j.
Spesifikasi baterinya adalah berbeza antara varian, dengan Prime menerima bateri short-blade lithium iron phosphate (LFP) Aegis dari Geely berkapasiti 49.52 kWh, yang menawarkan jarak gerak 345 k mengikut ujian standard WLTP. Sementara premium pula diberikan pek 60.22 kWh, dengan jarak gerak 410 km (WLTP).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.