Selepas pelbagai khabar angin yang bertiup, hari ini Nissan mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan bahawa CEO syarikat itu iaitu Makoto Uchida bakal meletakkan jawatannya berkuatkuasa 1 April 2025. Tugas Uchida bakal diganti oleh Ivan Espinosa yang kini memegang jawatan sebagai ketua pegawai perancangan Nissan.
Berita tentang ura-ura Uchida akan meletak jawatan ini mula kedengaran selepas usaha rundingan Nissan untuk bergabung dengan Honda gagal baru-baru ini.
Desas-desus berkenaan penggabungan jenama automotif nombor dua (Honda) dan ketiga (Nissan) terbesar di Jepun ini bermula akhir tahun lalu selepas Nissan yang kini dalam krisis kewangan dilaporkan hanya boleh bertahan sekitar 12 hingga 14 bulan sahaja lagi sekiranya tidak mempunyai pelabur yang stabil.
Nissan dan Honda secara rasmi mula berunding untuk bergabung pada Disember tahun lalu, yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dengan penghasilan sejumlah 7.4 juta kenderaan setahun.
Dalam rundingan tersebut kedua-duanya mensasarkan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggabungan berkenaan pada akhir bulan lalu, kemudian memuktamadkan rundingan ini sekitar Jun 2025 sebelum membentuk syarikat induk pada Ogos 2026, apabila saham kedua-dua syarikat telah digugurkan dari bursa.
Namun majlis untuk menandatangani MoU berkenaan telah dibatalkan kerana Nissan menolak tawaran Honda untuk menjadi anak syarikatnya, dan ini telah mengalihkan halatuju sebenar perbincangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut secara sama rata.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.