Semasa lawatan ke kilang Zonsen di Chongqing, China baru-baru ini, kami berpeluang melihat sendiri skuter baru Cyclone RT4 yang masih dalam proses pembangunan. Ia adalah penyambung generasi kepada WMoto RT3 yang sudah dijual di negara kita selama beberapa tahun.
Sebagai sebuah skuter baru, sudah tentu penampilannya diubah, tetapi yang lebih mengejutkan adalah ia datang dengan pelbagai kelengkapan sehingga boleh dikatakan keterlaluan untuk sebuah skuter kategori 250 cc.
Antaranya, ia dilengkapi skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon, cruise control, traction control, ABS dual-channel, pemanas tangan, sistem tanpa kunci, pemerhati tekanan angin tayar, penghadang angin boleh laras elektronik, cermin sisi boleh lipat sendiri serta soket USB.
Tidak cukup dengan itu, RT4 juga dilengkapi dengan kamera hadapan dan belakang, serta pemanas tempat duduk. Enjin masih lagi unit satu silinder 247 cc DOHC, menghasilkan kuasa 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 17 liter dan berat keseluruhannya adalah 17 liter.
Menurut wakil MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang merupakan pengedar rasmi motosikal Zonsen/Cyclone di Malaysia, keputusan untuk membawa masuk RT4 masih belum dibuat kerana saingan segmen skuter sedang hangat dengan model lebih 300 cc di Malaysia, dan pelarasan perlu dibuat berkenaan harga dan spesifikasi supaya ia boleh diterima oleh pengguna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.