Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju yang dijadualkan ditutup pada Jun ini, akan dilanjutkan setahun lagi iaitu sehingga 30 Jun 2026, laporan Bernama.
Katanya, perkara ini diputuskan berikutan fasiliti baharu Puspakom yang terletak di Bukit Beruntung, bagi menggantikan cawangan Wangsa Maju, belum dapat disiapkan oleh pihak kontraktor.
“Kerja-kerja pemindahan operasi di Bukit Beruntung sepatutnya (dilaksanakan) akhir bulan Jun ini. Kini Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian Puspakom cawangan Wangsa Maju di tapak ini hingga Jun 2026 sehingga pembinaan di Bukit Beruntung selesai,” katanya selepas melawat cawangan Wangsa Maju pagi tadi.
Loke turut berkata, usaha memindahkan cawangan Wangsa Maju sudah lama dibincangkan susulan kedudukannya yang berhampiran dengan beberapa buah sekolah.
“Terdapat satu lorong kecil menuju Puspakom ini dan berkongsi laluan dengan sekolah, saya banyak menerima aduan daripada guru dan ibu bapa pelajar memberitahu mereka tidak dapat hadir ke sekolah pada waktu yang tepat kerana jalan menuju ke sekolah telah dipenuhi dengan kenderaan termasuk kenderaan berat sejak awal pagi kerana melakukan pemeriksaan,” katanya.
Laporan Berita Harian pula menyebut, bagi mengatasi kesesakan di Puspakom Wangsa Maju sementara menunggu lokasi baharu, Anthony berkata, pihak kementerian merancang pembangunan semula kawasan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Bagaimanapun, katanya, proses tender bagi projek itu masih dalam peringkat permohonan cadangan (RFP) dan belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak. Selain itu, beliau berkata, lebih banyak lokasi akan disediakan bagi pemeriksaan kenderaan mulai tahun depan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap cawangan Wangsa Maju sebelum pemindahannya kelak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.