Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang bakal memperluaskan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand (sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT)) dengan tambahan tiga laluan baharu dan dua van bagi laluan sedia ada yang akan beroperasi mulai 15 Mac depan.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria, penambahan laluan baharu itu bagi memenuhi permintaan di kawasan kepadatan penduduk serta kawasan baharu yang belum mempunyai akses kepada pengangkutan awam.
Laluan baharu terbabit ialah Gurney dan Tanjung Bungah dengan kod laluan T110B dan Sunway dan Butterworth (T710B) yang masing-masing dengan enam van dan Paya Terubong (T211B) dengan satu van.
“Laluan ini turut menghubungkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir (first and last mile) penumpang dengan rangkaian perkhidmatan Rapid Penang sedia ada, sekali gus akan meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah Ku Jamil, berdasarkan permintaan menggalakkan, Rapid Bus turut merancang menempatkan sejumlah 50 van di negeri ini secara berperingkat sepanjang tahun ini. Katanya, langkah strategik itu bertujuan bagi menggalakkan orang awam beralih kepada penggunaan pengangkutan awam lebih fleksibel dan efisen.
“Laluan sedia ada iaitu T210B bagi Farlim dan Air Itam yang sudah dilancarkan pada 1 Ogos tahun lalu akan ditambahbaik dengan tambahan dua van, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak empat van. Penambahbaikan ini bertujuan bagi menampung permintaan tinggi serta mengurangkan waktu menunggu penumpang daripada 17 minit ke 10 minit,” katanya.
Ku Jamil turut berkata sejak laluan ini beroperasi, purata jumlah penumpang harian adalah 137 orang, iaitu melebihi sasaran awal iaitu 100 penumpang. Secara kumulatif, jumlah harian penumpang bagi laluan ini telah mencecah lebih 26,000 orang sejak tujuh bulan perkhidmatan ini beroperasi.
Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 11 malam dan boleh ditempah melalui aplikasi Kummute. Penumpang masih boleh menikmati tambang promosi RM1 bagi setiap perjalanan dan mod pembayaran adalah secara tanpa tunai menggunakan Pas Mutiara My50, Pas OKU Smile, kad debit/kredit, DuitNow QR atau e-dompet.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.