UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 6,632 unit kenderaan sepanjang bulan Februari 2025, dan menjadikan jumlah jualan kumulatif untuk dua bulan pertama tahun ini mencecah sebanyak 12,015 unit.
“Di UMW Toyota Motor, kami bukan sekadar menawarkan kenderaan, tetapi mencipta pengalaman, menggerakkan kemajuan, dan memberikan ketenangan dalam setiap perjalanan. Ketika kami melangkah lebih jauh ke tahun 2025, komitmen kami terhadap inovasi, kualiti, serta penyelesaian berorientasikan pelanggan terus menjadi keutamaan. Matlamat utama kami adalah memastikan setiap pemilik Toyota menikmati ketahanan, prestasi unggul, dan perkhidmatan selepas jualan bertaraf luar biasa—nilai yang telah menjadi nadi jenama kami sejak sekian lama,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Angka 6,632 unit yang dicatatkan ini sebenarnya sedikit jatuh berbanding angka jualan bulan sama tahun lalu di mana UMW Toyota berjaya mendaftarkan sebanyak 7,480 unit kenderaan (7,347 Toyota dan 133 Lexus) pada Februari 2024. Namun jumlah jualan kumulatif 12,015 yang dicapai sehingga Februari lalu telahpun memenuhi sebanyak 12% dari angka jualan keseluruhan tahunan 2024 yang mencatatkan 102,300 unit,
Dalam kenyataan yang sama UMWT turut menyatakan bahawa ia kini sudah mempunyai 100 pusat 3S yang ditempatkan secara strategik di seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan selepas jualan kepada semua pelanggannya. Tahun lalu, secara keseluruhan pusat-pusat 3S berkenaan telah pun menerima 1.4 juta kenderaan untuk diselengara.
“Pemilikan Toyota bukan sekadar pembelian, tetapi satu komitmen jangka panjang yang didukung oleh kepercayaan. Rangkaian pusat 3S kami di seluruh Malaysia dibangunkan untuk memastikan setiap pemilik dapat menikmati perjalanan yang lancar dengan sokongan perkhidmatan pakar yang cemerlang. Kami akan terus melabur dalam teknologi canggih, latihan tenaga kerja, dan peningkatan aksesibiliti bagi menawarkan pengalaman pemilikan terbaik, menjadikan Toyota bukan sahaja pilihan yang bijak, tetapi juga pilihan yang diyakini,” tambah Ravindran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.