Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL telah memaklumkan beberapa jalan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat mulai jam 5 petang hari ini (12 Mac). Ia adalah sempena dengan perayaan Masi Magam yang melibatkan dua pedati yang akan berarak dari Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves ke Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee.
Ketua JSPT KL Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata terdapat 17 laluan yang terlibat dengan penutupan secara berperingkat ini. “Laluan yang akan digunakan bagi perarakan itu bermula Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves – Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) – Jalan Sri Batu Caves – Jalan 46/10 – Jalan Sentul Pasar – Jalan Sentul – Jalan Tanah Lapang – Jalan Enam, Jalan Sentul.
“Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) – Jalan Tuanku Abdul Rahman – Jalan Dang Wangi – Jalan Ampang – Jalan Leboh Ampang – Jalan Tun Perak – Jalan Pudu – Jalan Tan Cheng Lock – Jalan Sultan – Jalan Tun H.S. Lee dan tamat di Kuil Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, penutupan dan pembukaan jalan secara berperingkat akan dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan kelancaran perjalanan perarakan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas. Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan perarakan ini berlangsung dengan lancar dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.