Toyota bZ4X facelift 2025 — SUV EV terima pengecas AC 22 kW, hingga 573 km jarak gerak, lebih kuasa

Toyota bZ4X <em>facelift</em> 2025 — SUV EV terima pengecas AC 22 kW, hingga 573 km jarak gerak, lebih kuasa

EV pasaran massa pertama Toyota, bZ4X pertama kali diperkenalkan pada 2022. Kini, ia diberikan kemaskini dan akan mula dijual di pasaran Eropah dalam tahun ini juga. Antara pembaharuan yang dilakukan menurut Toyota ialah pengecasan yang lebih pantas, lebih kuasa dan jarak perjalanan lebih jauh bagi SUV elektrik ini.

Toyota bZ4X yang awal mempunyai bateri berkapasiti 71.4 kWh, tetapi kini ia hadir dengan dua pilihan — 57.7 kWh atau 73.1 kWh. Bateri yang lebih kecil adalah hanya untuk versi pacuan roda depan, sementara yang lebih besar boleh dipilih dalam versi pacuan roda depan FWD atau semua roda AWD. Toyota menyatakan jarak perjalanan yang boleh dicapai adalah 445 km bagi varian dengan bateri 57.7 kWh FWD, 573 km bagi 73.1 kWh FWD dan 520 km bagi 73.1 kWh AWD.

eAxle bZ4X yang kompak, ringan dan cekap tenaga juga telah dipertingkat dengan pengenalan semiconductor silicon carbide (SIC). Ini membolehkan hantaran output kuasa yang lebih banyak, iaitu 167 hp (123 kW) bagi 57.7 kWh FWD, 224 hp (165 kW) bagi 73.1 kWh FWD dan 343 hp (252 kW) bagi 73.1 kWh AWD. Pecutan 0-100 km/j masing-masing adalah 8.6, 7.4 dan 5.1 saat.

Toyota bZ4X <em>facelift</em> 2025 — SUV EV terima pengecas AC 22 kW, hingga 573 km jarak gerak, lebih kuasa

Kapasiti menunda versi AWD pula telah dinaikkan dua kali ganda kepada 1,500 kg. Pengecas dalaman AC 22 kW pula akan disediakan untuk varian lebih tinggi, tetapi pengecasan DC maksimum kekal 150 kW.

Untuk rekod, bZ4X sebelum ini dengan bateri 71.4 kWh menjana sebanyak 201 hp (150 kW) dalam tetapan RWD dan 215 hp (160 kW) untuk AWD. Untuk itu, perbezaan dengan model facelift terbaru ini adalah banyak, terutama untuk versi AWD. Jarak perjalanan model semasa ialah 500 km WLTP, atau 411 km bagi AWD. Input AC maksimum hanya 6.6 kW bagi model semasa, jadi adanya pengecas dalaman 22 kW juga adalah sesuatu yang penting.

bZ4X yang dikemaskini ini juga dilengkapi dengan fungsi pra-penyejukan bateri sebagai ciri standard. Dengan ciri berkenaan, suhu optimum bagi pengecasan boleh dipastikan, membolehkan kuasa pengecasan yang lebih tinggi. Fungsi ini boleh diaktifkan secara manual atau automatik dengan panduan untuk pergi ke stesen pengecasan pantas.

Toyota bZ4X <em>facelift</em> 2025 — SUV EV terima pengecas AC 22 kW, hingga 573 km jarak gerak, lebih kuasa

Ada juga fungsi panduan arah dalam sistem tunjuk arah yang akan memilih secara automatik laluan yang membawa ke stesen pengecasan yang disyorkan serta mudah berdasarkan tahap semasa bateri dan baki jarak pemanduan yang tinggal. Fungsi ini sudah ada untuk bZ4X ketika ini untuk pengguna di Eropah.

Untuk penampilan pula, rekaan luar dan dalam SUV ini diberi kemaskini juga. Bahagian depan paling ketara perbezaannya — ia kini menampilkan wajah yang sama digunakan untuk model Prius, Camry facelift dan CH-R+ EV, yang lebih tajam dan lebih aerodinamik.

Bahagian belakang kekal sama, tetapi di dalam rekaan yang lebih bersih dan lapang diperkenalkan. Skrin infotainmen 14-inci lebih besar (sebelumnya 12.3-inci) dengan panel instrumen melintang yang lebih lebar. Kini, di bawah corong pendingin ada dua slot untuk pengecasan telefon tanpa wayar, menggantikan ruang untuk cawan sebelumnya.

Toyota bZ4X <em>facelift</em> 2025 — SUV EV terima pengecas AC 22 kW, hingga 573 km jarak gerak, lebih kuasa

Selebihnya, Toyota membuat kemaskini terhadap tetapan suspensi dan larasan terhadap badan kenderaan untuk menjadikannya lebih senyap dan kurangkan gegaran.

Bagi bZ4X facelift ini, Toyota memberi jaminan bahawa bagi tempoh 10 tahun, ia akan mengekalkan tahap kesihatan bateri tidak kurang daripada 70%. Jaminan diberikan selama lapan-tahun atau 160,000 km, dan ada program penjagaan bateri untuk 10 tahun atau sejuta km yang melibatkan pemeriksaan tahunan kesihatan EV.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required