Modenas secara rasminya mengumumkan, Ninja 500 kini sudah berada di pasaran Malaysia dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu Ninja 500 dan Ninja 500 SE. Harganya masing-masing adalah RM28,100 dan RM30,100 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had batuan.
Menggerakkan Ninja 500 adalah enjin baru dua silinder selari 451 cc DOHC, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 45 hp pada 9,000 rpm dan tork 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Berat keseluruhan motosikal adalah 171 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter.
Menurut Modenas, Ninja 500 ini menggunakan casis inspirasi daripada model 250 cc, menjadikan pengendaliannya serba mudah, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.
Ia memegang rim 17 inci dengan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, manakala tugas membrek pula dilaksana tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 220 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.
Bagi Ninja 500 biasa, ia ditawarkan hanya dalam satu warna iaitu hitam, sementara Ninja 500 SE datang dalam pilihan dua warna iaitu hijau dan hitam/merah. Menjadikan Ninja 500 SE lebih mahal adalah tambahan kelengkapan seperti pengecas USB Type-C, sistem kunci pintar serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon.
GALERI: Ninja 500 pasaran luar
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.