Pulau Pinang dijangka akan mempunyai 600 pengecas EV menjelang tahun ini, begitu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kerajaan Tempatan, Bandar dan Luar Bandar, Jason H’ng Mooi Lye ketika melancarkan kemudahan pengecasan di Gat Lebuh China, lapor Bernama.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan kajian bagi lokasi kemudahan pengecasan EV di bahagian pulau, dan disebabkan ruang yang terhad, ruang parkir sedia ada akan digunakan untuk tujuan ini, termasuklah di kompleks letak kereta MBPP, serta parkir tepi jalan untuk memberi akses kepada orang ramai,” ujar beliau dengan menambah bahawa kawasan selenggaraan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing akan mempunyai 300 stesen pengecas EV.
MBPP telah menjalankan proses Request for Proposal (RFP) bagi pemasangan pengecas EV, melibatkan 52 unit di 26 lokasi di bahagian pulau, termasuk di Persiaran Karpal Singh, Jalan Concordia, Precint 10, Lebuh Union, Gat Lebuh China dan Pasar Tanjung Bungah, jelasnya lagi.
Semua pengecas tersebut, yang dijangka akan beroperasi pada April, telah siap dipasang dan kini dalam proses disambungkan kepada bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). MBPP juga dalam proses untuk melaksanakan fasa kedua RFP bagi operasi 50 pengecas EV tambahan di 27 lokasi menjelang Disember.
“Selain memasang pengecas EV di kawasan selenggaraan MBPP dan MBSP, pemaju pusat beli-belah dan kawasan komersial juga telah mengambil inisiatif untuk memasang pengecas EV susulan daripada corak peningkatan penggunaan EV,” tambahnya. Pulau Pinang ketika ini sudah mempunyai 261 pengecas EV yang disediakan oleh sektor swasta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.