Denza setakat ini telah menyerahkan 200 unit terawal model D9 ketika berlangsungnya acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ hujung minggu lalu, bertempat di Plaza Arkadia, Desa Parkcity. Serahan berkenaan menyaksikan pembeli MPV elektrik berkenaan ketika fasa pelancarannya bulan lalu menjadi yang terawal menerima D9 di sini.
Maklumbalas ke atas jenama premium BYD itu sangat menggalakkan. Dilancarkan pada 20 Februari lalu, MPV berkenaan menerima lebih daripada 800 tempahan seminggu, yang menurut pengedarnya merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
“Maklumbalas ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan mengukuhkan dedikasi kami terhadap inovasi, ketelitian dan pengalaman pelanggan. Kami komited untuk membentuk masa depan EV premium dan akan membawakan kenderaan yang lebih canggih untuk pelanggan di Malaysia,” jelas Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.
Pesaing bagi Toyota Alphard/Vellfire/Zeekr 009/MIFA 9/GAC M8 (akan datang)/Wey 80 (akan datang) ini dijual dalam dua varian di sini, dengan harga masing-masing RM259k bagi versi motor tunggal Advanced FWD dan RM309k bagi versi dua motor Premium AWD.
Versi FWD menghasilkan kuasa sebanyak 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan jarak maksimum 520 km (WLTP).
Versi Premium AWD pula menerima tambahan motor di belakang dengan janaan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan 110 Nm, menjadikan janaan keseluruhannya 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan 470 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, dengan jarak yang kurang sedikit, 480 km WLTP.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 103 kWh, dan MPV ini boleh menerima kapasiti pengecasan pantas DC sehinga 166 kW, sementara pengecasan AC 11 kW. Bateri ini boleh mencapai tahap dari 30%-80% dalam masa 30 minit menerusi pengecasan pantas, dan pengecasan selama 10 minit boleh memberikan jarak 150 km.
800 pelanggan terawal D9 turut menikmati kelebihan pelancaran, yang terdiri daripada wallbox 22 kW percuma termasuk pemasangan dan pakej servis percuma enam-tahun/120,000 km serta cenderahati terpilih Denza seperti bantal leher dan pinggang dan beg pakaian Denza.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.