Jaecoo Malaysia telah memulakan penghantaran bagi model SUV J7 PHEV ke seluruh negara selepas tiga minggu ia dilancarkan. Syarikat berkenaan berkata, penghantaran seperti yang dijadualkan untuk suku pertama 2025.
“Ketibaan unit pertama J7 PHEV di wakil pengedaran di seluruh negara menandakan peristiwa penting bagi Jaecoo Malaysia dan menunjukkan komitmen kami kepada pelanggan. Kami teruja untuk rakyat Malaysia merasai sendiri inovasi dan kecanggihan J7 PHEV.
“Super Hybrid System (SHS) dengan teknologi canggih dan prestasi luar biasa, mentakrifkan semula inovasi pemacu landskap kenderaan hibrid Malaysia, membuka jalan kepada pertumbuhan dinamik dan kompetitif,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.
J7 PHEV ini ditawarkan dengan satu varian sahaja, berharga atas jalan RM158,800 tanpa insurans. Seperti J7 janaan enjin pembakaran dalaman (ICE), versi PHEV ini juga merupakan model pemasangan tempatan yang dipasang di kilang Chery di Shah Alam.
Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.
Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).
Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.
J7 PHEV ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Carbon Crystal Black (Hitam Kristal Karbon), Moonlight Silver (Perak Cahaya Bulan) dan juga warna istimewa yang hanya akan ditawarkan sebanyak 100 unit di Malaysia iaitu Khaki White (Putih Khaki). Selepas itu SUV ini turut akan ditawarkan warna Olive Grey (Kelabu Zaitun). Butiran penuh mengenai model ini boleh dibaca menerusi artikel pelancarannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.