Adegan melanggar lampu isyarat merah seperti yang dikongsikan menerusi pemilik akaun faiz.aziz di laman media sosial Instagram ini sebenarnya ‘adalah perkara biasa’ yang sering berlaku di persimpangan utama. Walau pun banyak menyebabkan kemalangan jalan raya termasuk melibatkan kecederaan parah mahu pun kehilangan nyawa, namun ia seakan tidak mendatangkan keinsafan buat segelitir pengguna jalan raya yang masih enggan mematuhi undang-undang lalu lintas.
Seperti dalam video yang dikongsikan ini, ia dirakamkan di persimpangan utama dari Jalan Sungai Buloh/Lebuhrara DASH menghala ke Subang Skypark berdekatan dengan Subang Perdana, dan dalam tempoh berkenaan, kami kira sebanyak 34 buah motosikal melanggar lampu isyarat merah dengan menggunakan lorong kecemasan. Memang semuanya ‘terlepas dengan selamat’ namun… tahukah anda tentang kewujudan peribahasa yang menyebut ‘Malang tidak berbau’ yang ditakrifkan oleh Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ‘kecelakaan yang terjadi dengan tiba-tiba’.
Kejadian terbaru yang mendapat perhatian netizen berlaku pada 7 Mac lalu apabila tiga maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1, Negeri Sembilan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Jazz yang dipandu remaja berusia 18 tahun itu gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal di sebelah kiri.
Tahun lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan sebanyak 95,298 saman atas kesalahan langgar lampu isyarat dari Januari hingga November 2024 yang direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 39,468 saman melibatkan motosikal, kereta (44,889 saman), lori (3,937 saman), dan lain-lain kenderaan (7,004 saman), kata Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Menurut Mohd Yusri, kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan melanggar lampu isyarat merah diambil tindakan penalti di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.