Stellantis Malaysia kini sedang mengadakan promosi dengan kolaborasi Public Bank, yang akan memberikan kadar faedah serendah 0.83% setahun apabila anda membeli Peugeot 408, sehingga 30 April 2025.
Kadar yang sangat rendah ini ditawarkan untuk 408 varian Premium, dengan kadar pinjaman 90% dan tempoh bayaran semula 60 bulan (lima tahun). Untuk varian GT yang paling tinggi pula, kadarnya sedikit lebih tinggi, iaitu 1.01%, dengan syarat pembiayaan yang sama.
Dilancarkan April lalu, 408 adalah sebuah crossover “coupé” yang ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan GT, dengan harga masing-masing RM166,055 dan RM196,055. Rekaannya unik, dengan lampu LED yang nampak seperti cakar singa dan bumbung yang menjunam di belakang. Selain rim yang lebih besar (20 inci), varian GT juga diberikan lampu hadapan matriks serta gril yang sama warna dengan badan.
Rekaan dalam kenderaan ini juga agak dramatik, dengan tetapan i-Cockpit bersama panel instrumen digital 10 inci di hadapan pemandu dan skrin sesentuh 10 inci di tengah papan pemuka. Varian GT dipertingkat dengan satu lagi skrin untuk kawalan pendingin hawa, balutan kulit Nappa, sistem kamera 360 darjah dan sistem bunyi Focal Premium 10 pembesar suara. Sistem Autonomous Emergency Braking dan Adaptive Cruise Control diberikan secara standard untuk kedua-dua varian.
Menggerakkan 408 adalah enjin 1.6 liter turbo empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 218 PS dan 300 Nm tork yang disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Mahukan pengalaman memandunya sendiri? Peugeot kini mengadakan sesi pandu uji panjang, sehingga tiga hari melalui program Peugeot Weekender Experience.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.