Kenderaan berat termasuk lori dan bas yang melalui lebuhraya tidak lagi dibenar menggunakan lorong kanan, sebaliknya kekal di lorong paling kiri kecuali untuk memotong. Ini antara lima langkah penambahbaikan yang akan dikuatkuasakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) membabitkan peraturan lebih ketat bagi kenderaan perdagangan, iaitu lori dan bas, laporan New Straits Times.
Penambahanbaikan peraturan lain ialah mewajibkan pemasangan alat kawalan kelajuan, pemasangan alat Sistem Kedudukan Global (GPS), alat pengesan muatan High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) di 11 lokasi lebuhraya dan penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, berkata peraturan melarang bas dan lori berada di lorong paling kanan sebenarnya sudah diwartakan pada 2015, namun belum dikuat kuasakan lagi.
“Di bawah peraturan ini, lori atau bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak boleh dipandu laju. Jika ingin memotong, ia dibolehkan bertukar ke lorong kedua dan kembali semula ke kiri.
“Namun, mereka sama sekali tidak boleh berada di lorong ketiga pada bila-bila masa. Justeru, kita akan usulkan semula perkara ini kepada menteri supaya dapat dikuatkuasakan membabitkan kenderaan berat di lebuh raya,” katanya sambil menambah bahawa semua lori baharu sudah mempunyai alat kawalan kelajuan, tetapi pemilik kenderaan lama mempunyai pilihan untuk memasangnya sendiri.
“Peranti ini akan mengehadkan kelajuan kenderaan berat kepada 80-90 km/j bagi mengelak berlakunya kemalangan, peraturan ini juga telah diwartakan di bawah undang-undang sedia ada, tetapi ia masih belum dikuatkuasakan, dan kita mahu melihat ia dilaksanakan,” katanya.
Jana Santhiran berkata peraturan pemasangan GPS akan berkuat kuasa bulan ini, membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan berdasarkan pemantauan masa nyata sistem itu. Di mana bagi peranti kawalan kelajuan dan GPS, pemeriksaan akan dijalankan setiap enam bulan di Puspakom bagi memastikan pematuhan.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa boleh segera mengambil tindakan ke atas mana-mana kenderaan yang ingkar, termasuk menggantung atau membatalkan permit syarikat lori atau bas.
Bagi pemasangan HS-WIM yang mengesan kenderaan lebih muatan di 11 lokasi lebuhraya, ia dijangka siap pada suku pertama 2026. Dua lokasi kini dalam fasa pembuktian konsep (POC) dan sembilan yang lain sedang menjalani projek perintis, dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.
“Kami juga bekerjasama dengan pengendali lebuhraya, kerana mereka mempunyai sistem yang mampu mengesan muatan lori di plaza tol. Teknologi ini akan dihubungkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membolehkan pengeluaran saman secara automatik,” kata Jana Santhiran sambil menambah kementerian akan akan berusaha memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menambah lebih banyak kamera AES di seluruh negara.
Jana Santhiran turut berkata, penambahbaikan itu diperoleh hasil penubuhan pasukan petugas khas pada awal Januari lalu bagi menangani isu membabitkan kenderaan berat secara menyeluruh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.