Seperti yang ramai sudah maklum, perkhidmatan Electric Train Service (ETS) oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) bakal bermula untuk ke Segamat melalui projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru yang sedang dibangunkan.
Semakin hampir dengan JB, stesen Labis akan mula menyediakan perkhidmatan ETS bulan depan, diikuti oleh Kluang pada Mei dan akhir sekali, Johor Bahru pada September nanti.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi gembira dengan pengenalan perkhidmatan ETS di Johor, dan menyifatkan projek landasan berkembar elektrik itu sebagai sebuah lonjakan bagi sistem landasan kebangsaan, terutamanya di selatan, lapor Bernama.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada transformasi prasarana di Johor. Semoga perkhidmatan ini memberi manfaat yang besar untuk rakyat dan negeri ini dan menjadikan kami lebih berdaya saing dan membangun,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook.
“Dengan landasan berkembar ini, perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral akan mengambil masa hanya tiga jam dan 30 minit, menjadikannya pilihan yang paling pantas, selesa dan cekap. Landasan sepanjang 192 km itu melintasi Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru sebelum berakhir di JB Sentral. Dengan kelajuan maksimum 160 km/j, tren elektrik ini boleh melakukan 22 perjalanan sehari dengan 364 kerusi bagi setiap tren,” tambahnya.
Sebaik sahaja landasan JB semuanya elektrik berkembar, seluruh jajaran Pantai Barat akan menjadi perkhidmatan utama bagi ETS dan unit komuter elektrik. Perkhidmatan tren biasa selepas ini hanya akan digunakan untuk jajaran Pantai Timur sahaja — yang juga akan menjalani naik taraf elektrifikasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.