Pilihan untuk model Vespa GTS 300 di Malaysia kini bertambah dengan pelancaran satu lagi versi, iaitu GTS 300 Classic. Harga yang ditetapkan adalah RM31,900 tidak termasuk insurans, tetapi untuk 50 pelanggan pertama, skuter ini akan dijual pada harga RM29,900 dalam keadaan standard.
Tiga warna ditawarkan untuk GTS 300 Classic, iaitu Beige Sabbia Q02, Black Vulcano ND dan Green Relax V11. Kemudiannya, ia diserikan dengan kemasan krom yang terdapat pada kemasan tepi badan, cermin sisi, perumah lampu, spring suspensinya serta pelindung ekzos. Tempat duduk pula berwarna kelabu.
Sebagai satu siri GTS 300, model baru ini digerakkan oleh enjin satu silinder HPE empat strok, suntikan bahan api 278 cc, yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 23.8 hp pada 8,250 rpm dan tork 26 Nm pada 5,250 rpm.
Menurut Vespa, model GTS 300 terbaru kini mempunyai beberapa peningkatan, termasuk tempat duduk yang lebih selesa serta sistem tanpa kunci. Panel meter masih menggunakan gabungan paparan analog dan skrin LCD.
GTS 300 Classic datang dengan rim bersaiz 12 inci bersama tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh suspensi yang terdiri daripada lengan ayun dengan penyerap hentak di hadapan dan dua penyerap di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.