Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengesan sebanyak 71 hotspot dan blackspot di lebuhraya seluruh negara, termasuk 25 lokasi hotspot dan 46 kawasan blackspot dengan kadar kemalangan yang tinggi, laporan New Straits Times.
““Lokasi-lokasi ini hanya melibatkan lebuhraya, dan kami akan memantaunya secara berterusan terutama pada musim perayaan,” kata Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang memaklumkan perincian mengenai lokasi berkenaan akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pula telah mengenalpasti 12 lokasi berisiko berlaku kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menjelang perayaan Aidilfitri ini, laporan Bernama.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pasukannya akan ditempatkan di semua lokasi tersebut bermula 29 Mac hingga 3 April 2025 sebagai persediaan yang lebih efisien.
“Kedua-dua lebuhraya ini adalah tumpuan utama kami. Matlamat utama kami adalah untuk sampai ke lokasi kemalangan dalam masa 30 minit. Berdasarkan pengalaman kami, kemalangan di lebuhraya ini boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, jadi kami menempatkan kakitangan kami di lokasi ini untuk meminimumkan kesannya,” katanya.
Walau bagaimanapun, JBPM tidak akan menempatkan anggotanya di lokasi tertentu di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak tetapi akan melakukan rondaan sempena Aidilfitri nanti, tambah Nor Hisham.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.