Satu lagi model motosikal daripada Benda dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dan kali ini merupakan sebuah cruiser bernama Chincilla 500. Ia ditawarkan dalam tiga warna, iaitu hitam, biru dan kelabu, pada harga RM27,888 tidak termasuk insurans.
Chincilla 500 dipacu oleh enjin dua silinder V 475 cc, digabungkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 9,000 rpm dan tork 42 Nm pada 7,200 rpm, untuk dihantar kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.
Kedua-dua rim motosikal ini menggunakan saiz 16 inci, dibalut tayar saiz 150/80 di hadapan dan 180/65 di belakang, dan kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork USD dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.
Semua informasi penting motosikal dapat dilihat oleh penunggang melalui skrin digital berbentuk bulat di bahagian kokpit, sementara tangki bahan api berkapasiti 16 liter. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C dan USB-A.
Berat keseluruhan Chincilla 500 adalah 215 kg, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual-channel dan sistem kawalan cengkaman. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.