Tahun lalu Renault telahpun melancarkan EV kompak ‘kelahiran semula’ hatchback ikonik Renault 5 dikenali sebagai Renault 5 E-Tech. Model ini kemudiannya hadir dengan versi prestasi tetapi dengan lencana Alpine, diberi nama sebagai Alpine A290. Namun evolusi model ini tidak terhenti setakat itu – Renault nampaknya bakal menjual model ini dalam versi kelahiran semula ‘hot-hatch’ gila jenama Perancis itu dengan enjin turbo yang disumbat di bahagian pemandu untuk perlumbaan rali iaitu Renault 5 Turbo – ini dia EV Renault 5 Turbo 3E!
Model ini akan mula dijual pada 2027, dan imej yang anda lihat ini adalah sama dengan imej yang telah didedahkan pada hujung tahun lalu yang menurut Renault ia adalah rupa sebenar model produksi yang akan dilancarkan nanti. Manakala nama ‘3E’ dihujung hot-hatch ini menandakan ia adalah versi ketiga Renault 5 Turbo selepas Turbo 1 pada 1980 dan Turbo 2 pada 1983, serta merupakan yang pertama digerakkan sepenuhnya dengan kuasa elektrik.
Rupa Renault 5 Turbo 3E ini mungkin nampak seperti Renault 5 E-Tech yang disuntik dengan steroid, namun hakikatnya Renault sebenarnya menghasilkan platform aluminium baharu untuk model Turbo 3E ini bukan hanya untuk mendapatkan kerangka yang lebih tegar, malah ia juga mengurangkan berat serta untuk menempatkan unit rangkaian kuasa dengan konfigurasi berbeza sepenuhnya.
Berbanding Renault 5 E Tech yang hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik memacu roda hadapan dengan varian kuasa paling tinggi 150 PS/245Nm, model Turbo 3E ini dibekalkan dengan dua motor elektrik. Dan tidak seperti kebiasaan EV yang dibekalkan dengan dua motor elektrik memacu gandar hadapan dan belakang untuk memberikan pacuan semua roda, kedua-dua motor elektrik Turbo 3E ini masing-masing diletakkan pada hub roda kiri dan kanan belakang hatchback ini.
Jadi Renault 5 Turbo 3E ini adalah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya, sama seperti model Turbo asal era 80’an dahulu yang menampilkan konfigurasi enjin tengah pacuan belakang. Motor tersebut ‘memaksa’ Turbo 3E dipadankan dengan set roda yang besar dan lebar merangkumi rim 20-inci yang dibalut dengan tayar 275/35ZR20, serta penambahan panel badan lebih lebar dari Renault 5 E Tech pada setiap ruang roda .
Walaupun motor pada hab roda berkenaan menyebabkan berat tak terpegas (unsprung weight) menjadi lebih tinggi, Renault menyatakan konfigurasi ini dapat mengurangkan berat keseluruhan Turbo 3E ini kerana ia tidak memerlukan komponen-komponen seperti aci pacu dan sebagainya pada gandar belakang. Dengan kuasa yang dialirkan terus dari motor ke roda ini juga dapat memberikan respon pendikit lebih segera serta tork pada roda yang lebih tinggi, dakwa Renault.
Secara keseluruhan, kedua-dua motor berkenaan menghasilkan kuasa 544 PS (400 kW), dengan tork yang boleh dilepaskan sehingga 4,800 Nm! Ini membolehkan pecutan dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.
Motor-motor berkenaan menerima kuasa dari bateri dengan kapasiti 70 kWj, di dakwa dapat memberikan jarak gerak sejauh 400 km dengan satu cas penuh. Renault turut menyatakan bateri tersebut mampu bertahan beberapa lap dalam litar dalam keadaan ‘dibelasah’ sepenuhnya sebelum perlu dicas semula.
Platform EV ini beroperasi dengan asas elektrikal 800-volt, membolehkan sistem pengecas DC 350 kW memenuhkan kembali kuasa elektrik dari 15% hingga 80% dalam masa hanya 15 minit. Manakala dengan pengecas AC 11 kW, bateri tersebut boleh dicas penuh dalam masa lapan jam.
Selain dari aluminium yang digunakan untuk asas platform, Renault turut menggunakan pelbagai “struktur super” daripada material gentian karbon untuk membina Turbo 3E ini. Kereta ini juga menampilkan hanya dua tempat duduk termasuk pemandu, dan hasilnya ia ditimbang hanya 1,450 kg, jauh lebih ringan dari dari kebanyakkan model-model EV.
Talaan suspensi untuk Renault 5 Turbo 3E ini pula telah dibuat oleh sayap perlumbaan Renault iaitu Alpine. Pasukan itu bukan hanya menala kereta ini agar ia menampilkan kelincahan dan prestasi membelok yang maksima, malah turut membolehkan hatchback ini membuat aksi drift dengan lancar.
Untuk itu, satu fungsi bantuan drift telah dihasilkan untuk Renault 5 Turbo 3E ini menerusi mod pilihan pemanduan Multi-Sense. Juga ia dilengkapi dengan tuil brek tangan yang tinggi pada konsol tengah, persis tuil gear tangan hidraulik jentera-jentera drift dan rali bagi memulakan aksi drift dengan mudah.
Dengan platform berbeza ini, sebenarnya hanya beberapa komponen luaran yang dikongsi antara Renault 5 E Tech dan Turbo 3E, antaranya cermin sisi dan lampu belakang. Model Turbo 3E ini kekal sebagai hatchback tiga-pintu, berbanding lima pintu pada 5 E Tech.
Dengan jelas, Renault 5 Turbo 3E menampilkan rupa dengan inspirasi penuh dari Renault 5 Turbo asal. Ia menampilkan ‘otot-otot’ pada setiap ruang roda yang menjadikan ia lebih lebar, perumah lampu hadapan berbentuk petak tetapi menampilkan lampu LED nipis di dalamnya, bentuk bampar hadapan dengan liang-liang udara besar seperti bampar asal Turbo 1 dan lampu nyalaan siang dengan jalur empat segi seakan lampu kabus Turbo 1.
Splitter bawah hadapan pada kereta ini mengalirkan udara masuk ke dalam kereta dan kemudian dibebaskan menerusi penutup bonet bagi menghasilkan downforce. Manakala aliran udara sisi pula dialir keluar menerusi liang pada fender sisi hadapan.
Walaupun tiada radiator untuk menyejukkan enjin, liang sisi besar pada ruang roda hadapan Renault 5 Turbo elektrik ini bukan sekadar hiasan. Lubang atas sebelah kanan berfungsi untuk mengalirkan udara keluar ke belakang, lubang atas sebelah kiri menyorokkan port pengecas, manakala liang sebelah bawah pula adalah untuk menyejukkan brek. Manakala di belakang, Renault 5 Turbo 3E menampilkan diffuser udara yang cukup besar.
Secara keseluruhan Renault 5 Turbo model ini menampilkan dimensi panjang 4,080 mm, lebar 2,030 mm, tinggi 1,380 mm dan juga jarak roda sejauh 2,570 mm. Jadi berbanding model standard E Tech, versi ‘gila’ ini adalah 160 mm lebih panjang, 260 mm lebih lebar, 120 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih jauh.
Masuk ke kabin, asas panel instrumen dengan skrin digital 10.1-inci yang bercantum dengan skrin infotainmen tengah 10.25-inci dilihat masih serupa seperti Renault 5 E Tech, tetapi ia hadir dengan paparan grafik yang memberikan suasana sama seperti Renault 5 Turbo 1.
Ia juga menerima roda stereng rata dibawah seperti roda stereng Alpine A290 yang memberikan butang merah bagi membebaskan lebih kuasa ketika hendak memotong, serta suis putar untuk talaan sistem regenerative braking. Kabin ini juga dilengkapkan dengan separa rollcage untuk kabin belakang, sepasang tempat duduk bucket karbon, lengkap dengan tali pinggang keledar perlumbaan enam-point.
Pembeli juga ditawarkan dengan beberapa grafik badan dengan tema warisan sukan permotoran Renault, khususnya model Turbo yang terlibat dalam disiplin rali. Jika tidak suka dengan rekaan asas yang disediakan, pembeli turut boleh meminta rekaan tersendiri yang akan dihasilkan oleh pereka-pereka Renault.
Renault 5 Turbo 3E ini hanya akan diproduksi sebanyak 1,980 unit, dan akan menerjah pasaran utama seperti Eropah, Jepun, Timur Tengah dan Australia dengan tempahan akan dibuka tidak lama lagi. Harga? Tidak diumumkan lagi oleh Renault. Namun dengan jumlah produksi rendah bersama spesifikasi yang membuatkan anda ternganga, kereta ini dijangka akan dijual pada harga yang juga boleh membuatkan anda sambung ternganga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.