Seperti yang kami laporkan bulan lalu, CFMoto 700MT kini memasuki pasaran Malaysia secara rasmi, dijual pada harga RM33,888 tidak termasuk insurans dan disediakan dalam dua pilihan warna iaitu putih dan hitam. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.
Model adventure/touring ini sebenarnya adalah model yang dipertingkat daripada model 650 MT dan dipacu oleh enjin dua silinder yang kini berkapasiti 693 cc dan sekarang mampu menghasilkan 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm.
Penyampaian kuasa dikawal melalui transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, dan paparan informasi dibuat melalui skrin TFT lima inci baru yang mempunyai dua soket USB pada bahagian tepinya, sementara penghadang angin hadapan boleh dilaras secara secara manual.
Model ini datang dengan padanan rim spoked aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar tanpa tiub 110/80 dan 150/70, dan kemudiannya dipegang oleh fork USD 43 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban.
Tugas membrek dijalankan unit cakera berkembar di hadapan, cakera tunggal di belakang serta sistem ABS. Turut disediakan adalah sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Dalam keadaan standard, 700 MT ini datang dengan tempat duduk berketinggian 800 mm, sementara tempat duduk yang lebih tinggi disediakan sebagai aksesori.
Walaupun dengan harga sebegitu, 700MT datang dengan pelbagai kemudahan termasuk pemanas tangan, pemanas tempat duduk, tangki bahan api 20 liter, semua lampu jenis LED, penghadang tangan, penghadang bawah enjin, pemerhati tekanan angin tayar dan besi pelindung radiator. Berat keseluruhan model ini adalah 240 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.