Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa bagi membendung dan membanteras aktiviti produk tiruan minyak enjin kenderaan motor, kerajaan telah menggubal perintah baharu di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024. Ia akan dikuatkuasakan bermula 7 April ini.
Menurut menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, perintah ini digubal melalui Seksyen 29, Akta 730 sebagai punca kuasa untuk melantik SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.
“Perintah baharu ini akan membolehkan pengguna mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.
“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, perintah baharu ini juga bagi membolehkan pengguna mengenal pasti penjualan minyak enjin yang tulen di pasaran sekaligus membanteras penjualan minyak enjin tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan dan kemalangan jalan raya.
Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Oktober 2024, laporan Bernama.
“KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program penglibatan sejak 2022 melibatkan hampir semua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan bermotor di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, [atau] penjual yang menjual produk yang tidak disahkan dan tidak mempunyai label pematuhan yang sah,” kata Armizan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.