Ini ada sesuatu yang tidak dijangka daripada Geely di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. Jenama itu sudah berada di Thailand sejak November lalu, dan mereka memulakan langkah dengan model EX5 atau dipanggil Proton eMas 7 di Malaysia dan Geely Galaxy E5 di China. SUV itu memang dibawa ke tapak acara BIMS 2025.
Namun, satu lagi model yang muncul adalah Star Wish, iaitu EV kompak yang dikatakan menjadi calon utama untuk Proton eMas 5. Di China, ia menggunakan nama Geome (sebelum itu Geometry) Xingyuan dan dilancarkan pada tahun bulan Oktober tahun lepas. Ini juga menjadi satu pra tonton awal kepada EV paling mampu milik daripada Proton.
Anda boleh anggap ia sebagai pesaing kepada BYD Dolphin. Walaubagaimanapun, bentuknya adalah lebih lembut, berlekuk dan sedikit seperti model smart. Xingyuan ini juga adalah lebih kecil, dengan catatan panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm dan jarak roda 2,650 mm.
Di China, kereta ini datang dengan dua pilihan enjin, dan kedua-duanya menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL yang mengambil masa 21 minit untuk dicas 30-80%, bersama motor elektrik di belakang. Varian permulaan di China menggunakan unit 30.12 kWh, mampu memberikan jarak gerak 310 km (CLTC), digabungkan bersama motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm. Varian paling atas pula menggunakan bateri 40.16 kWh, dengan jarak gerak 410 km dan motor 116 PS (85 kW) 150 Nm.
Keseluruhannya terdapat lima varian di China, dan antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk rim 16 inci, lampu LED depan dan belakang, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana, enam pembesar suara, penjana kuasa 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W dan pendingin hawa dengan corong udara di belakang. Turut diberi adalah pakej penuh ADAS.
Januari lalu, CEO Proton, Li Chunrong mengumumkan terdapat “sekurang-kurangnya satu model baru” yang menggunakan Geely Global Modular Architecture (GMA) akan diperkenal tahun ini, dengan secara spesifiknya menyebut tentang eMas 5 atau eMas 3, yang mana mengesahkan Proton mempunyai perancangan untuk dua EV yang lebih kecil berbanding eMas 7.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.