Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.
TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April 2025, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.
Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara 29 hingga 30 Mac, anda diminta mula bergerak antara jam 12 tengahari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 11 pagi hingga 1 tengahari atau 7 malam hingga 9 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.
Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 5 hingga 6 April pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 8 pagi hingga 11 pagi atau selepas jam 5 malam hingga 7 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 7 malam hingga 9 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.
Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. AFA memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.
Sila periksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Disarankan agar anda selenggara kenderaan terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Pastikan kad tambah nilai Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi. Dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu dan sentiasa amalkan pemanduan selamat. Moga anda selamat sampai ke destinasi yang ditujui.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.