Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri mengumumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April ini.
Menurutnya, seramai 6,957 pegawai dan anggota trafik ditugaskan di sepanjang operasi berkenaan termasuk memantau 46 lokasi blackspot serta 25 lokasi hotspot iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama di seluruh negara.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memberi bantuan segera kepada pengguna jalan raya yang menghadapi sebarang kecemasan atau kerosakan kenderaan.
“Pihak JSPT akan mengadakan advokasi kempen kesedaran keselamatan jalan raya melalui program-program bersama masyarakat dan perkongsian maklumat menerusi media massa sepanjang pelaksanaan Op Selamat 24 tahun ini dengan mengekalkan tema yang sama iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’”, katanya pada sidang media selepas pelancaran OP Selamat 24 semalam di hadapan kompleks membeli-belah Sogo.
Mohd Yusri menambah, pendekatan kempen ini masih berasaskan ‘Total Enforcement and Delivery Services’ (Penguatkuasaan Menyeluruh dan Perkhidmatan Penghantaran) seperti tahun-tahun sebelumnya, yang bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab melalui beberapa langkah, menurut laporan Berita Harian.
“Melalui Op Selamat, kita juga akan menjalankan pemantauan udara bersama Unit Operasi Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau kesesakan lalu lintas di lebuhraya dan jalan raya yang dijangka mengalami peningkatan kenderaan,” katanya.
“Op Selamat 24 turut menampilkan kerjasama antara agensi melalui kolaborasi dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St.John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA),” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas serta bersabar dan berhemah ketika memandu bagi memastikan keselamatan jalan raya.
“Pemandu juga perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas kenderaan. Selain itu, mereka dinasihatkan mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya yang turut menekankan bahawa sikap pemandu adalah salah satu elemen paling penting, kerana semua pengguna jalan raya perlu bertanggungjawab antara satu sama lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.