Dilancarkan pada November tahun lalu, Deepal E07 kini dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. SUV elektrik dengan fungsi trak pikap ini ditawarkan dalam dua varian di Thailand — Plus yang dijual dengan harga 1.699 juta baht (sekitar RM222k) dan Performance AWD dengan harga 2.099 juta baht (RM274k) — angka selepas subsidi tempatan di sana.
Varian Plus dilengkapi motor elektrik di belakang dengan kuasa 342 PS (338 hp atau 252 kW) dan 365 Nm, dan boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 201 km/j. Varian Performance AWD pula ditambah dengan motor elektrik hadapan 256 PS (252 hp atau 188 kW) dan 280 Nm, manakala motor di belakangnya masih sama seperti Plus.
Dengan kuasa keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 645 Nm, varian ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.96 saat dan mencapai laju maksimum 210 km/j. Ia juga mendapat suspensi udara dengan kawalan serapan automatik – double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang.
Kedua-dua varian E07 ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) yang sama, dengan kapasiti 89.98 kWH, dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 640 km untuk Plus dan 590 km pada Performance AWD. Pengecasan AC boleh dilakukan pada kadar maksimum 6.6 kW manakala DC pula sehingga 240 kW (30-80% dalam masa cuma 15 minit).
Deepal E07 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,680 mm tall jarak roda 3,120 mm. Ini menjadikannya ia agak besar, tetapi panjangnya masih lagi kurang berbanding trak pikap sebenar seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max. Menurut Deepal, ia boleh membawa barang di belakang sehingga 300 kg.
Sekali pandang, E07 ini nampak seperti sebuah SUV yang dipanjangkan dan mempunyai bumbung yang menjunam di belakang seperti coupe. Istimewanya, pintu ruang barangan belakang dibuka ke bawah seperti trak pikap, manakala penutup atasnya pula boleh dilungsur secara elektrik.
Rekaan yang boleh dilihat pada E07 adalah seperti lampu DRL berbentuk C di hadapan, lampu utama nipis, jalur LED di tengah, tambahan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda, rim 21 inci dan rel di atas bumbung.
Bahagian dalam yang menyediakan lima tempat duduk pula menggunakan rekaan yang lebih ringkas dengan di tengah papan pemuka terletak skrin infotainmen 15.6 inci. Malahan, tiada panel instrumen yang dapat dilihat pada kenderaan ini, dan ia diganti dengan panel head-up display.
Kelengkapan lain termasuklah roda stereng larasan elektrik, tempat duduk hadapan zero-gravity dengan liang udara, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, lampu suasana 256 warna, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem audio 18-pembesar suara dan pad pengecas tanpa wayar 50W.
Untuk keselamatan, ia dilengkapi beg udara depan, tepi dan bidai, bersama pelbagai sistem pasif lain manakala sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada pemerhati keliling kenderaan, bantuan parkir automatik, Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist, Lane Centring, Forward Collission Warning dengan Automatic Emergency Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Front and Rear Cross Traffic Alert dan Lane Change Assist.
Di BIMS 2025, Changan yang merupakan syarikat pemilik jenama Deepal menawarkan E07 dengan harga bermula 1.599 juta baht (RM209k), bagi menarik pembeli. Promosi ini turut termasuk internet percuma 10-tahun dan pakej penjagaan premium — Performance AWD menerima tambahan jaminan 10-tahun, 200,000 km. Ada juga pakej gaya hidup bernilai 60,000 baht (RM7.8k) yang terhad kepada 500 pelanggan terawal, dengan dua pilihan — drone dan kelengkapan khemah atau set basikal dan baucar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.