Bangkok 2025: Denza N7 dipamerkan – EV fastback crossover 530 PS/670 Nm, jarak gerak 702 km

Bangkok 2025: Denza N7 dipamerkan – EV fastback crossover 530 PS/670 Nm, jarak gerak 702 km

Sekali lagi Denza N7 dipamerkan di Thailand, kali ini menerusi acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. Versi facelift bagi fastback crossover saiz sederhana ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2024 dan baru-baru ini menerima penambahbaikan di China untuk model tahunan 2025 dengan diberikan kelengkapan DiPilot ADAS ciptaan BYD.

Di negara kelahirannya, N7 ditawarkan dengan tiga kemasan yang berharga dari 259,800 hingga 289,800 yuan (sekitar RM159k hingga RM178k). Dibangunkan dengan e-Platform 3.0 juga dari BYD bersama binaan 800V, ketiga-tiga varian diberikan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti tenaga cecah 91.3 kWh dan boleh menyokong penggunaan pengecas pantas DC sehingga 230 kW yang memiliki dua soket pengecas, dan selain soket tunggal 150 kW. Selain itu, ia juga boleh dicas menggunakan unit AC berkapasiti 7 kW dan mempunyai sistem vehicle-to-load (V2L) 6 kW.

Bagi versi paling asas, penjana kuasanya menampilkan motor elektrik belakang dengan tujahan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat. Larasan ini memberikan jarak gerak hingga 702 km mengikut standard CLTC.

Bangkok 2025: Denza N7 dipamerkan – EV fastback crossover 530 PS/670 Nm, jarak gerak 702 km

Untuk varian pertengahan pula, ia ditambahkan motor elektrik hadapan dengan kuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 310 Nm untuk larasan pacuan semua-roda dengan keseluruhan lonjakan kuasa cecah 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 670 Nm. Kuasa yang lebih besar ini telah mengurangkan pecutan dari 0-100 km/j iaitu sekitar 3.9 saat tetapi jarak geraknya menurun ke 630 km.

Manakala model spesifikasi tertinggi pula diberikan penjana kuasa AWD daripada sistem brek yang lebih kuat dengan angkup empat omboh dan cakera perforated di hadapan. Ia juga mendapat suspensi udara dwi-ruang, walaupun semua varian mendapat peredam yang dikawal secara elektronik sebagai standard.

Denza N7 ini berukuran 4,860 mm panjang, 1,935 mm lebar, 1,602 tinggi dan jarak roda cecah 2,940 mm, sekaligus membuatkan ia lebih besar berbanding Tesla Model Y dan Xpeng G6 – kedua-duanya kurang 100 mm untuk jarak panjang dan memiliki jarak roda 50 mm lebih pendek.

Sebagai jenama premium BYD, Denza memberikan N7 dengan ciri yang lebih sofistikated termasuk kulit upholstery Nappa, tempat duduk hadapan larasan kuasa (dengan fungsi pemanas, aliran udara dan mengurut), skrin sesentuh tujuh-inci pada perehat tangan belakang, pilihan sama ada kemasan aluminium atau kayuan, pemilih gear kristal, suede headliner, bumbung panoramik dengan tirai suria, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sesentuh infotainmen sentral 17.3-inci dan skrin sesentuh 10.25-inci untuk penumpang hadapan.

Selain itu, ia juga diberikan paparan utama dengan daya realiti tambahan, sistem bunyi 16-pembesar suara dari Devialet dengan Dolby Atmos, sistem karaoke, sokongan kunci kereta NFC, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang, penapis udara dan sistem wangian) serta ciri ketersambungan.

N7 ini juga didatangkan dengan versi DiPilot 300 dari BYD yang disepadukan dengan penderia lidar dan penderia lain untuk merealisasikan pelbagai fungsi. Ini termasuk untuk parkir valet automatik, navigasi jalan bandar dan lebuhraya dengan autopilot (HNOA), kawalan kelajuan adaptif, bantuan ketibaan lorong, lampu tinggi automatik, pemantauan titik buta, AEB, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek, parkir automatik, parkir kawalan jauh dan paparan pemandangan sekeliling.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required