Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

Ketika didedahkan di Thailand pada Mac tahun lalu semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024, model elektrik penuh (EV) Honda e:N1 diumumkan tidak akan dijual pada pasaran negara itu, sebaliknya hanya ditawarkan dalam pakej langganan. Ia boleh dibuat menerusi 12 penyedia kereta sewa di sana, dengan kos bayaran bermula 29,800 baht (RM3,800) sebulan.

Namun ketika berlangsungnya BIMS 2025 yang bermula minggu ini, Honda Thailand mengumumkan bahawa e:N1 kini sudahpun boleh dibeli. Ia dijual pada harga 1.199 juta baht (RM157,000), di mana bateri dan kelengkapan sistem EV lain dilindungi waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

Sepsifikasi model yang dijual tersebut masih lagi sama seperti yang ditawarkan dalam pakej langganan sebelum ini. Namun apa yang berbeza versi yang dijual berkenaan diimport sepenuhnya (CBU) dari China yang dipasang oleh DongFeng Honda Automobile. Manakala versi yang disewakan sebelum ini dipasang secara tempatan di kilang Honda di Rojana Industrial Park, Prachinburi yang diumumkan sebagai model BEV pertama dari Jepun yang dipasang di Thailand pada Disember 2023.

Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

Peralihan kaedah ini mungkin disebabkan kilang Honda di Rojana tersebut tidak mampu untuk menampung permintaan untuk membekalkan e:N1 di keseluruhan rantau ini, dan kosnya lebih berkesan sekiranya ia diambil terus dari China. Honda e:N1 ini turut telah mendarat di Indonesia, juga ditawarkan dalam pakej langganan dengan bayaran 22 juta rupiah (RM5,890) sebulan untuk tempoh masa lima tahun. Model ini turut disahkan akan dilancarkan di Malaysia tahun ini.

Honda e:N1 ini merupakan versi EV untuk SUV segmen-B Honda HR-V. Namun menurut Honda ia diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan, memacu roda hadapan.

Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, serta mencatatkan kelajuan maksima 160 km/j. Ia menerima kuasa elektrik dari bateri litium-ion 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 412 km dalam kitaran ujian WLTP.

Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

Ia dibekalkan dengan sistem pengecas AC 11 kW yang memerlukan masa enam jam untuk dicas penuh. Pengecas pantas DC CCS2 turut disediakan yang boleh menyokong sehingga 78 kW, membolehkan cas dari 10% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 45 minit.

Pada bahagian luaran, e:N1 ini menampilkan rupa yang sama seperti model petrol penuh dan hibrid Honda HR-V, dibezakan hanya pada bahagian gril hadapan tertutup yang menyorokkan palam pengecas di sebaliknya.

Antara perincian luaran yang ditawarkan pada e:N1 pasaran Thailand ini termasuk rim aloi 18-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu isyarat membelok hadapan LED jenis sequential, lampu belakang LED dengan lensa yang digelapkan, spoiler belakang dan antena sirip yu.

Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

Manakala pada sebelah dalam, ia juga menampilkan asas papan pemuka yang sama dengan HR-V, tetapi dibezakan dengan penampilan skrin menegak bersaiz 15.1-inci pada bahagian tengah (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar), dan paparan instrumen diganti dengan skrin 10.25-inci tanpa perumah.

Konsol tengah juga agak berbeza kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis PRND jenis tekan, serta datang dengan tempat duduk balutan kulit bersama kemasan putih serta jahitan benang biru.

Ketika membuat kemunculan sulung tahun lalu, Honda e:N1 ini hanya ditawarkan dalam warna Premium Sunlight White Pearl. Namun untuk versi yang mula dijual ini, ia turut ditambah dengan satu lagi warna badan iaitu Crystal Black Pearl.

Dengan perkembangan terbaharu ini, sekurang-kurangnya ada petunjuk bahawa e:N1 turut akan dijual secara biasa dalam pasaran Malaysia selepas dilancarkan di sini nanti. Malah dengan harga yang diumumkan tersebut turut membolehkan kita membuat andaian berapa harga jualannya kelak, namun masih bergantung dari mana sumber yang akan dibekalkan kepada Honda Malaysia untuk dijual dalam pasaran tempatan nanti.

GALERI: Honda e:N1 dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required