Zaman sekarang ini, kenderaan elektrik (EV) kian menjadi pilihan. Pelbagai jenama EV membawa masuk model keluaran mereka ke Malaysia disebabkan ia ada permintaan di pasaran. Walau bagaimana pun, kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) masih kekal relevan buat masa ini dan tetap banyak model baharu diperkenalkan.
Seperti pengeluar kereta terkemuka Korea Selatan, Kia, yang turut membawa masuk dua model EV di Malaysia iaitu Niro EV, EV6 dan EV9, namun model ICE tidak dilupakan. Ini termasuklah melancarkan barisan Kia Sportage 2025 pada Disember tahun lalu.
Untuk pasaran Malaysia, barisan Sportage 2025 yang ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, hadir dengan empat varian bersama dua pilihan enjin iaitu 2.0G 2WD yang berharga atas jalan RM147,218.60 tanpa insurans, 2.0G 2WD High berharga RM157,218.60, 1.6T 2WD High berharga RM176,899 dan model tertinggi 1.6T AWD Hi pula berharga RM186,899.
Walau pun berhadapan dengan pesaing terdekatnya iaitu Honda CR-V dan Proton X70, namun Sportage 2025 tidak gentar untuk menawan hati penggemarnya dengan kelebihan yang dimiliki.
Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai Sportage 2025 ini, Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia telah menganjurkan sesi pandu uji bersama media permotoran tempatan.
Walau bagaimana pun, kami diberikan kesempatan untuk memandu ujinya dalam masa yang agak singkat, dengan pemanduan silih berganti bersama tiga rakan wartawan, dari Glenmarie Shah Alam ke Janda Baik dan seterusnya menuju ke Serendah.
Kami diberi peluang mencuba varian 2.0G High 2WD dan 1.6T High AWD untuk dipandu silih berganti. Kedua-duanya pasti ada perbezaan daripada segi prestasi dan pengendalian walau pun secara sekilas pandang, penampilannya tidak banyak berbeza.
Sejujurnya, pengendalian varian 1.6T High AWD lebih menambat jiwa kerana ia mampu menterjemahkan prestasi padu seperti yang diharapkan. Dengan penjana kuasa Gamma II 1.6 T-GDI empat-silinder sebaris D-CVVT, output yang terhasil mencecah 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia juga diberikan transmisi DCT e-Shift tujuh-kelajuan, membuatkan gabungan kedua-duanya dirasakan serasi melonjakkan prestasi yang menguja.
Tidak perlu tekanan pedal pendikit yang berlebihan kerana enjin tidak kedekut memuntahkan kuasa dengan cekap dan pantas, dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 201 km/j. Kia mendakwa, penggunaan bahan apinya lebih menjimatkan iaitu sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 km.
Mengendalikan varian tertinggi ini memang mencipta keseronokan yang tersendiri apatah lagi sewaktu melayan jalan berbukit dan berselekoh menuju ke Janda Baik, dan kemudian menghala pula Serendah melalui laluan mencabar di Ulu Yam. Bermain dengan stereng melayan selekoh memang menyeronokkan. Kawalan sterengnya serasa ‘friendly’ dan mengikut kehendak lantas memberikan keseronokan.
Prestasi dan pengendalian model tertinggi ini boleh disifat sebagai lebih ampuh dan padu, berbanding varian dengan enjin Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT dengan hamburan kuasa 154 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,500 rpm. Dua varian paling rendah dalam barisan Sportage 2025 ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum hingga 181 km/j dan penggunaan bahan api didakwa sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km.
Varian 2.0G 2WD High walau diberikan enjin 2.0 liter namun lonjakan kuasanya tidaklah sepadu versi turbo. Ia sekadar mencukupi untuk membawa beban jentera dan terasa sedikit berat bila mendaki laluan berbukit. Nasib baik ia diberikan kotak gear auto enam-kelajuan, sekurang-kurangnya ia banyak membantu memaksa lonjakan kuasa.
Kesemua varian Sportage 2025 ini diberikan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Multi-Link di belakang. Manakala untuk sistem breknya, ia menerima ventilated disc untuk hadapan dan solid disc di belakang.
Barisan Sportage 2025 ini memiliki dimensi berukuran 4,660 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,660 mm tinggi dan 2,755 mm bagi jarak roda, manakala jarak kelegaan tanahnya (ground clearance) pula mencecah 181 mm.
Malah kami sempat meredah anak sungai yang tidak begitu dalam dan tidak lah deras, ‘memijak’ batu-batu sungai dan ia tidak memberikan masalah buat varian ini, apatah lagi ia dilengkapi dengan sistem pacuan empat-roda (AWD), pastinya laluan sebegini ‘kacang’ saja direntasi.
Walau nampak kerangkanya agak besar, namun ketika merentasi laluan sempit di satu perkampungan orang asli di Serendah, pengendalian Sportage 2025 ini juga tidak menyulitkan.
Sebagai penumpang, kedua-dua varian yang diuji ini memberikan keselesaan yang optimum. Ruang kaki dan ruang kepala juga sederhana besar, menambahkan lagi poin keselesaannya. Bagi ruang kargo, ia berkapasiti sekitar 590 liter dengan kedudukan tempat duduk normal dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,780 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, sekaligus memberikan lebih praktikaliti sebagai sebuah SUV.
Bagi aspek keselamatan pula, kesemua varian menerima enam beg udara, ABS, Kawalan kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Fungsi Menahan Auto, Amaran pemakaian tali pinggang keledar, Amaran keluar selamat, cagak Isofix, sistem pemantauan tekanan tayar, Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC) dan Kawalan Kelajuan.
Manakala tiga varian teratas menerima kelengkapan teknologi keselamatan termaju yang merangkumi Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA) dan Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go.
Bagi imej luarannya, wajah hadapannya nampak agresif dengan penampilan lampu utama dengan jaluran ala boomerang bersama gril radiator yang lebih besar. Untuk model asas, ia digandingkan bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang dengan material hitam. Manakala tiga varian tertinggi lebih ranggi bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang ditampilkan material piano black bersama kemasan krom satin.
Sisi agresif juga ditampilkan pada bahagian belakang yang dilengkapi dengan antena shark fin dan spoiler. Untuk rim pula, ia diberikan unit aloi 17-inci dibaluti tayar profil 235/65 R17 untuk kedua-dua varian enjin 2.0, manakala bagi versi 1.6T pula menerima aloi 18-inci bersama tayar profil 235/60 R18.
Untuk ruang kabinnya, kemasan papan pemuka pula tidaklah begitu sarat dan tidak menampakkan sifat futuristik walau pun masih kekal bergaya. Ia diberikan material lembut dengan rona hitam untuk varian asas, manakala varian selebihnya menerima kemasan piano black.
Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah butang penghidup enjin, Brek Parkir Elektronik (EPB), cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam, suis pemilihan mod pemanduan, pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang, pencahayaan dalaman, sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh lapan-inci, Apple CarPlay dan Android Auto dan kamera undur dengan Paparan Pandangan Sekeliling (SVM).
Dengan harga atas jalan RM147,218.60 tanpa insurans bagi varian 2.0G 2WD, diikutidengan 2.0G High 2WD berharga RM157,218.60, RM176,899 untuk 1.6T 2WD High dan model tertinggi 1.6T High AWD pula berharga RM186,899, adakah ia dilihat berbaloi berbanding harga yang lebih kayangan yang ditawarkan oleh Honda CR-V iaitu antara RM159,900 hingga RM195,900. Atau pun Proton X70 yang jauh lebih berharga marhaen iaitu antara RM98,900 hingga RM126,800.
GALERI: Kia Sportage 1.6T 2WD High
GALERI: Kia Sportage 2.0G 2WD High
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.