Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan Kerajaan Madani dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
“Keputusan memberikan diskaun 50% dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac (Jumaat) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 29 Mac 2025 (Sabtu) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Jelas beliau, implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.
“Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023, adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” sambungnya lagi.
Katanya lagi, diharap pengguna lebuhraya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan termasuk mengikut jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuhraya.
Selain itu, pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik, pastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi dan jika yang menggunakan Smart Tag sila pastikan bateri peranti mencukupi
Dalam masa yang sama, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
“Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan syarikat konsesi lebuhraya menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan, serta berehat jika letih atau mengantuk. Marilah kita bersama menjaga keselamatan, kebersihan, dan keselesaan lebuh raya serta mengurangkan kemalangan,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.