Ujian perintis sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dengan kaedah point-to-point bagi mengukur tempoh dan jarak perjalanan kenderaan untuk mengesan pemandu melanggar had laju dijangka dimulakan secara rintis menjelang Jun ini, laporan New Straits Times .
Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), projek rintis kaedah itu yang dirancang menggantikan kaedah statik diguna pakai selama ini, akan memantau dua laluan lebuh raya, iaitu di Lebuhraya KL-Karak yang melibatkan antara laluan Terowong Genting Sempah ke Hentian Rehat Gombak dan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu arah Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah.
Menurut laporan Berita Harian pula, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata pemandu yang melanggar had laju boleh dikesan alat dipasang di plaza tol jika tiba di destinasi lebih cepat daripada anggaran tempoh sepatutnya.
“Projek akan dilaksana secara rintis di dua lokasi lebuh raya terbabit. Jika benar-benar efisien, kita sedia serahkannya untuk dilaksanakan. Sistem ini yang dipasang di plaza tol akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak.
“Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, sistem dengan teknologi AI itu juga boleh mengesan tempoh seorang pemandu berhenti di mana-mana lokasi jika mereka berbuat demikian untuk memanjangkan tempoh perjalanan bagi mengelak dikesan sistem itu.
“Maksudnya pemandu tidak boleh terlepas daripada dikesan jika memandu melebihi had laju, berdasarkan jarak dan tempoh masa yang diukur menerusi sistem baharu ini,” katanya sambil memaklumkan sebuah syarikat sudah dilantik mengendalikan proses bukti konsep atau proof of concept (POC) kaedah berkenaan tanpa sebarang impak kewangan kepada kerajaan.
Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan kamera AWAS akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik dilaksanakan sebelum ini.
“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.
“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.
Pada pertengahan Januari lalu, PLUS Berhad telah mengadakan ujian kalibrasi bagi pemasangan kamera AwAS di KM258.25 (Arah Utara) dan KM262.5 (Arah Selatan) di Jajaran Terowong Menora/Meru.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.