Sepanjang musim Hari raya Aidilfitri ini, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pastinya menerima lonjakan trafik dan dijangka bakal digunakan oleh lebih 140,000 pengguna.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid, berkata peningkatan ini susulan daripada jumlah pengguna yang semakin bergantung kepada WCE sebagai laluan alternatif utama.
“Sebelum pembukaan Seksyen 6 Asam Jawa pada 20 November 2023, trafik harian WCE adalah sekitar 60,000 kenderaan. Sejak jajaran penuh di Perak mula beroperasi, jumlah ini meningkat kepada 70,000 kenderaan sehari. Dengan musim perayaan yang bakal tiba, kami menjangkakan lebih 140,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE, terutamanya di laluan utama dari Taiping Selatan ke Banting,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat Februari 2025, 95% projek WCE telah siap, dengan beberapa seksyen utama telah dibuka bagi meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepatkan perjalanan pengguna.
Di Selangor, seksyen baharu yang telah dibuka ialah Seksyen 1 sepanjang 12.5km yang menghubungkan Banting ke SKVE dan Seksyen 2 (7.2km) yang menghubungkan SKVE ke KESAS. Manakala jajaran Perak pula, Seksyen 8 hingga 11 sepanjang 99.2 km telah beroperasi sepenuhnya dan menjadi laluan utama pengguna ke utara.
Menurut Syed Idid lagi, bagi memastikan keselesaan pengguna di sepanjang perjalanan, WCE menyediakan beberapa kemudahan penting termasukh entian sebelah dengan kemudahan seperti tandas, surau dan kiosk tambah nilai di setiap plaza tol dan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang disediakan di Hentian Sebelah Taiping Selatan, Trong, Assam Jawa dan SAE.
Selain itu, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Nyior, di jajaran Seksyen 11 Taiping, kini telah dibuka di kedua-dua arah utara dan selatan. Bukan itu sahaja, pondok teduhan motosikal turut disediakan di sepanjang lebuhraya bagi kemudahan dan keselamatan pengguna motosikal terutamanya ketika hujan.
“Dalam memastikan perjalanan yang selamat dan lancar sepanjang musim perayaan, WCE menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan maklumat trafik terkini dan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.
“Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini dan panduan perjalanan, pengguna boleh merujuk saluran rasmi WCE di media sosial dan laman web serta muat turun aplikasi ‘WCE App’ di Apple AppStore dan Google Play Store,” kata Syed Idid menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.