Selain dari model-model SUV biasa, sub jenama EV Geely iaitu Zeekr turut ada membawa model ‘halo’ jenama tersebut iaitu 001 FR untuk dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang kini sedang berlangsung. Model ini sebenarnya diasaskan model pertama yang dihasilkan untuk lencana Zeekr iaitu EV Shooting Brake Zeekr 001, dan ia diberikan talaan lebih liar dan difokuskan untuk pemanduan litar serta disasarkan untuk mencabar Tesla Model S Plaid
Berbanding 001 biasa yang dibekalkan dengan dua motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 768 Nm, Zeekr 001 FR ini pula dipadankan dengan empat motor elektrik memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS – jauh lebih berkuasa dari Tesla Model S Plaid dengan tiga motor elektrik yang menghasilkan 1,020 hp.
Dengan bekalan kuasa tersebut, Zeekr 001 FR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.
Tidak seperti Zeekr 001 AWD biasa yang diberikan hanya dua motor iaitu dibekalkan pada setiap gandar, konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal.
Setiap motor pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 155 kW (211 PS), atau 422 PS secara keseluruhan. Manakala setiap motor pada gandar belakang pula menghasilkan kuasa (310 kW) 421 PS atau 842 PS secara keselurahan. Jadi walaupun Zeekr 001 FR ini adalah jentera AWD, ia sebenarnya lebih bersifat seperti kereta pacuan roda belakang dengan agihan tork diuruskan oleh perisian Zeekr Vectoring Control.
Zeekr turut menyatakan bahawa ketika kereta ini membuat pusingan kereta kebal, tork puncak yang boleh dicapai pada roda mencecah 10,000 Nm, dan motor pada gandar belakang menggunakan gentian karbon bagi membalut rotor serta jumlah ketumpatan kuasa yang dicatatkan adalah 4.4W/kg
Motor-motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri CATL Qilin berkapasiti 100 kWj. Dengan asas sistem elektrik 800V, bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 15 minit. Dengan satu cas penuh, Zeekr 001 FR ini boleh bergerak sejauh 550 km berdasarkan kitaran CLTC. Untuk pemanduan litar, kereta ini turut dibekalkan dengan sistem Heat Pump 2.0 bagi membolehkan suhu bateri dikekalkan walaupun ia sedang dibelasah semahunya.
Dengan unit rangkaian kuasa yang lebih buas, Zeekr 001 FR ini menerima sistem brek dari AP Racing menampilkan angkup 10-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik dari Brembo. Ia turut diberikan set roda dengan rim aloi forged 22-inci yang dibalut tayar litar Giti GTR2 bersaiz 265/40R22 di hadapan dan 295/40R22 di belakang. Manakala untuk suspensi, 001 FR ini dilengkapi dengan suspensi prestasi tinggi keluaran KW.
Selain itu Zeekr 001 FR ini juga menerima kit aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon yang didakwa dapat menampung daya sisi sehingga 1.4G. Kit tersebut termasuk spoiler pada bawah bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang. Bumbung logam kereta ini juga telah ditukar menggunakan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.
Pada sebelah dalam, Zeekr 001 FR ini menerima tempat duduk hadapan sport, upholsteri Alcantara dan juga kemasan-kemasan berwarna merah. Pemandu diberikan paparan instrumen dengan skrin 8.8-inci, manakala untuk infotainmen dan kawalan-kawalan lain ia diberikan skrin utama 15.5-inci.
Di China Zeekr 001 FR ini dijual pada 769,000 yuan atau sekitar RM470k. Kereta ini dilancarkan di sana pada Oktober 2023 dengan kehadiran juara F1 2007 Kimi Räikkönen, yang kini merupakan ketua penasihat prestasi untuk Zeekr.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.